
SHAH ALAM, 20 April – Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang dilaporkan terjejas banjir kilat susulan hujan lebat lebih sejam bermula kira-kira pukul 5 petang tadi.
- Kawasan terjejas termasuk Seksyen 13, Seksyen 7 berhampiran i-City, belakang UiTM dan Bukit Raja.
- Air naik hampir menenggelamkan tayar kenderaan di kawasan komersial, menyebabkan gangguan pergerakan trafik.
- Hujan lebat dan ribut petir menyebabkan pokok tumbang, mengakibatkan kesesakan dan melibatkan empat kenderaan dengan kerosakan ringan.
Antara kawasan terjejas termasuk Seksyen 13, Seksyen 7 berhampiran i-City, kawasan belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Bukit Raja.
Berdasarkan perkongsian di media sosial di Thread, air dilaporkan naik sehingga hampir menenggelamkan tayar kenderaan di kawasan komersial, sekali gus menjejaskan pergerakan trafik.
Hujan lebat beserta ribut petir turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, sekali gus memburukkan lagi kesesakan waktu puncak.
Keadaan itu turut menjejaskan aliran trafik di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Sungai Buloh apabila kedua-dua arah dilaporkan lumpuh setakat 5.55 petang.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan kejadian pokok tumbang turut berlaku di Jalan Prima Selayang 7, Batu Caves kira-kira pukul 4.18 petang.
Empat kenderaan dilaporkan terlibat, namun kerosakan yang dialami tidak serius.