
LAHAD DATU, 20 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, pada semalam (Ahad).
- Operasi SAR memasuki hari kedua selepas mangsa dipercayai diseret ke laut ketika mandi sekitar pukul 10 pagi.
- Pasukan bomba menggunakan bot menyusuri pesisir dalam radius lima kilometer bersama PDRM, APM dan Jabatan Hidupan Liar.
- Operasi ditangguhkan pada pukul 5.15 petang dan akan disambung semula esok pagi.
Mangsa dipercayai diseret ke dalam laut ketika mandi di tepi pantai kira-kira pukul 10 pagi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jpukul 10.27 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 74 kilometer dari balai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini dimulakan dengan taklimat bersama agensi terlibat sebelum pencarian diteruskan sekitar pada pukul 9.55 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Operasi dijalankan menggunakan bot bomba dengan menyusuri pesisir laut dalam radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Hidupan Liar.
Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada pukul 5.15 petang dan akan disambung semula esok pagi.