Prestasi ekonomi kukuh tarik minat pelabur global – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini, yang bertemakan “Memperkasakan Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi”

KUALA LUMPUR, 20 April- Malaysia terus mencatat keyakinan pelabur global walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana global membeli lebih AS$2 bilion bon Malaysia, mencatat aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan.
  • Ringgit menjadi mata wang terbaik di Asia dua tahun berturut-turut; ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus tahun lalu.
  • Pelaburan tinggi disokong sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa, hasil usaha kerajaan yang konsisten.

Beliau berkata perkembangan itu dibuktikan apabila dana global telah membeli lebih AS$2 bilion bon Malaysia dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus mencatat aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

Menurut beliau, prestasi mata wang negara turut menunjukkan pengukuhan apabila ringgit muncul sebagai mata wang terbaik di Asia bagi dua tahun berturut-turut, manakala ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus tahun lepas.

Selain itu, Malaysia turut menarik pelaburan pada paras tinggi, didorong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

“Semua pencapaian ini tidak diperoleh tanpa usaha,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kalangan pelabur menyaksikan usaha kerajaan yang konsisten dalam melaksanakan komitmennya.

“Mereka melihat ekonomi yang kekal teguh meskipun persekitaran semakin mencabar, dan mereka turut menyaksikan sesuatu yang jarang disebut oleh rakyat Malaysia sendiri, iaitu negara ini menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini yang bertemakan “Memperkasakan Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi” di sini hari ini.

Pameran yang memasuki edisi ke-19 itu berlangsung hingga Khamis ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).