Pengendali feri di Langkawi digesa kembalikan lapan perjalanan sehari

Datuk Zuraidi Rahim

LANGKAWI, 20 April – Syarikat pengendali feri di Langkawi digesa untuk mengembalikan semula lapan perjalanan sehari ke Langkawi bagi menggalakkan kemasukan pelancongan
sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim mengulas susulan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar ke atas perkhidmatan feri.
  • Kerajaan melaksanakan langkah mitigasi sementara untuk menampung sebahagian kecil kenaikan kos operasi akibat peningkatan harga diesel.
  • Zuraidi memberi amaran ekonomi Langkawi akan merosot dan peniaga terancam jika catuan perjalanan feri berlanjutan.
  • Beliau serta penduduk mendesak campur tangan segera kerajaan untuk menyelesaikan isu catuan bagi melindungi industri pelancongan.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata, perkara itu susulan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar bagi perkhidmatan feri penumpang dan feri roll-on roll-off (RORO) yang berkuat kuasa hari ini.

Pelaksanaan yang dilakukan kerajaan itu merupakan langkah mitigasi sementara bagi menangani peningkatan kos operasi perkhidmatan feri.

“Jika keadaan ini berterusan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi, ekonomi Langkawi akan terus merudum dan ramai peniaga terpaksa gulung tikar. Sebab itu, rakyat Langkawi mendesak agar catuan ini dihentikan serta-merta kerana keadaan kini semakin meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan aman yang disertai ratusan peserta di hadapan Terminal Jeti Penumpang Kuah, di sini semalam.

Hal ini kerana, catuan daripada lapan kepada tiga perjalanan sehari sahaja ke Langkawi yang dilaksanakan pengusaha feri sejak 25 Mac lepas dilihat akan melumpuhkan industri pelancongan di pulau itu sekali gus memberi kesan kepada sasaran kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Berkuat kuasa hari ini kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel.

Dalam pada itu beliau turut meminta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu catuan perjalanan feri ke Langkawi, yang didakwa memberikan kesan kepada industri pelancongan serta ekonomi penduduk tempatan yang bergantung kepada industri pelancongan.