
SHAH ALAM, 20 April – Selangor mencatat kutipan hasil sebanyak RM3 bilion bagi tahun 2025 sekali gus menunjukkan peningkatan RM154 juta berbanding pada tahun 2024.
- Baginda menyatakan peningkatan hasil disebabkan pengurusan hasil yang cekap dan pertumbuhan ekonomi berterusan.
- Baginda menyatakan Kerajaan melebihi sasaran tahun lalu dan mensasarkan pencapaian lebih baik pada 2026.
- Baginda menitahkan sikap berjimat cermat, utamakan perbelanjaan keperluan asas dan elakkan pembaziran demi kebajikan rakyat.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, peningkatan itu didorong pengurusan hasil yang cekap serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
“Kerajaan beta pada tahun lalu (2025) telah berjaya melebihi sasaran asal, dan Beta difahamkan bahawa pada tahun 2026, pencapaian yang lebih memberangsangkan akan dapat dicapai dengan sasaran sebanyak RM2.8 bilion,” titah baginda.
Beliau bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 Tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Hadir sama, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah agar semua pihak perlu mengamalkan sikap berjimat cermat terutamanya dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa yang mencabar ketika ini.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan minyak akibat konflik di Asia Barat, yang memberi kesan langsung kepada negara serta meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Pada masa sama, baginda menitahkan Kerajaan Negeri agar memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan, dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat, khususnya mereka yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan. Kerajaan Beta perlu ingat bahawa kebajikan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri,” titah baginda.