PM seru kerjasama pertahanan, aeroangkasa lebih kukuh dengan Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global untuk menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan pengeluar di Malaysia selari dengan peranan negara yang semakin berkembang dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat Malaysia telah membuktikan kebolehan dalam rantaian bekalan mencabar melalui budaya ketepatan dan akauntabiliti kukuh, termasuk sektor aeroangkasa pertahanan.
  • Malaysia memperkukuh asas industri pertahanan berteraskan merit dan prestasi syarikat tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.
  • Kerajaan memastikan tadbir urus kukuh: perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik dan pematuhan undang-undang adil.

Beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia telah membuktikan kemampuan mereka dalam beberapa rantaian bekalan komersial paling mencabar di dunia menerusi budaya yang menekankan ketepatan dan akauntabiliti yang kukuh termasuk dalam sektor aeroangkasa pertahanan.

“Kepada pihak utama dan pembekal Tier 1 di sini, mari datang dan bertemulah dengan pengeluar kami. Luangkan masa bersama-sama mereka. Sebahagian daripada anda sudah pun berbuat demikian, dan saya mempelawa mereka yang belum untuk mempertimbangkan mengapa rakan-rakan anda yang lain telah pun melakukannya,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia sedang memperkukuh asas industri pertahanan berteraskan merit dan prestasi syarikat tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.

Pada masa sama, kerajaan akan terus memastikan tadbir urus yang kukuh bagi menyokong pembangunan industri termasuk perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik dan pematuhan undang-undang secara adil kepada semua pihak.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini yang bertemakan “Memperkasakan Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi”.

Pameran yang memasuki edisi ke-19 itu berlangsung hingga Khamis ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).