
IPOH, 20 April- Pelaksanaan Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) tidak melibatkan pemindahan hak milik tanah kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya Kerajaan negeri Perak kekal sebagai pemilik sah tanah berkenaan.
- GSA sebagai kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan pembangunan tanah demi manfaat rakyat.
- Perjelasan diperlukan mengenai status tanah bagi agensi seperti FELDA dan FELCRA supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
- Sistem ladang berpusat membolehkan peserta menikmati dividen dan manfaat ekonomi berterusan tanpa mengetepikan hak pemilikan tanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelaksanaan GSA merupakan satu bentuk kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan pembangunan tanah untuk manfaat rakyat.
Beliau menjelaskan, kekeliruan berhubung status tanah melibatkan agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) perlu diperjelas agar tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Melalui sistem ladang secara berpusat, peserta dapat menikmati dividen serta manfaat ekonomi yang berterusan tanpa mengetepikan hak pemilikan tanah. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembangunan lebih sistematik, malah berupaya memaksimumkan skala ekonomi serta meminimumkan kegagalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, di Perak lebih 35,000 hektar tanah diuruskan di bawah skim GSA dengan majoritinya melibatkan FELDA iaitu lebih 28,000 hektar, manakala selebihnya kira-kira 7,000 hektar di bawah FELCRA.