Pusingan kedua rundingan damai Iran-AS dijangka berlaku dalam tempoh terdekat

Pakistan kekal menjadi tuan rumah rundingan AS-Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat. /Foto AFP

KARACHI / ISTANBUL, 21 April – Diplomat tertinggi Pakistan dan Iran mengadakan perbincangan menerusi telefon pada Isnin, panggilan kedua seumpamanya dalam tempoh dua hari, di tengah-tengah usaha untuk memulakan pusingan kedua rundingan Amerika Syarikat (AS)-Iran bagi menamatkan peperangan, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menghubungi Abbas Araghchi, menekankan kepentingan dialog berterusan dan penyelesaian isu tertunggak untuk keamanan serantau.
  • Pasukan AS diketuai Naib Presiden JD Vance dilaporkan menuju Pakistan untuk rundingan, manakala Iran belum rasmi mengumumkan penyertaannya.
  • Pakistan menjadi tuan rumah pusingan pertama 11-12 April selepas gencatan senjata 14 hari; pusingan kedua dijangka di ibu negara bila-bila masa.
  • Selat Hormuz hampir ditutup selepas serangan; Iran buka tutup semula, tentera AS menahan kapal kargo Iran, Tehran tuntut pengeluaran sekatan pelabuhan.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berhubung dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, menurut satu kenyataan ringkas oleh Kementerian Luar Pakistan yang dipetik oleh Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan itu, Dar “menekankan kepentingan dialog yang berterusan dan penglibatan segera bagi menyelesaikan semua isu tertunggak demi mempromosikan keamanan serta kestabilan serantau.”

Panggilan itu dibuat ketika pasukan AS yang diketuai oleh Naib Presiden JD Vance dilaporkan dalam perjalanan ke Pakistan untuk mengadakan rundingan dengan pihak Iran, yang setakat ini masih belum mengumumkan secara rasmi penyertaan mereka dalam rundingan pusingan kedua itu.

Tehran juga belum mendedahkan butiran mengenai perbualan Araghchi dengan Dar.

Terdahulu, Dar dan Araghchi mengadakan panggilan serupa pada Ahad ketika pasukan “pendahulu” AS mula mendarat di Islamabad.

Pakistan menjadi tuan rumah pusingan pertama rundingan AS-Iran antara 11 dan 12 April selepas berjaya memperoleh gencatan senjata selama 14 hari pada 8 April, yang dijadualkan tamat menjelang subuh Rabu ini.

Sumber Kerajaan Pakistan memberitahu Anadolu pada Isnin bahawa Islamabad menjangkakan “perkembangan positif tidak lama lagi” mengenai Selat Hormuz susulan panggilan telefon daripada Ketua Turus Tentera Asim Munir kepada Presiden AS Donald Trump.

Pusingan kedua rundingan antara AS dan Iran itu dijangka berlangsung pada bila-bila masa di ibu negara Pakistan.

Laluan air berkenaan hampir ditutup sepenuhnya sejak AS dan Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lepas.

Tehran mengisytiharkan selat itu dibuka pada Jumaat tetapi menutupnya semula sehari kemudian selepas Trump mengumumkan bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran akan diteruskan. Pada Ahad, tentera Amerika menahan sebuah kapal kargo Iran selepas melepaskan tembakan dan menaiki kapal itu.

Pihak berkuasa Iran menuntut agar AS menarik balik sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan mereka.

Terdahulu, sumber Pakistan menyatakan bahawa pihak Iran dijangka tiba di Islamabad pada Selasa. – BERNAMA-ANADOLU