Suruhanjaya Eropah sambung semula bekalan minyak menerusi paip Druzhba

Suruhanjaya Eropah sedang berbincang dengan pihak berkepentingan bagi memudahkan penyambungan semula bekalan minyak melalui saluran paip Druzhba. /Foto REUTERS

MOSCOW, 21 April – Suruhanjaya Eropah kini sedang berhubung dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memudahkan penyambungan semula bekalan minyak melalui saluran paip Druzhba, kata jurucakap suruhanjaya itu, Olof Gill pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Viktor Orban berkata Brussels mendakwa Kyiv sedia sambung semula minyak melalui Druzhba jika Hungary tarik balik veto terhadap pinjaman EU €90 bilion kepada Ukraine.
  • Hungary tidak bersedia menarik balik veto sehingga transit minyak disambung semula.
  • Ukraine menghentikan transit melalui Druzhba pada 27 Januari dengan alasan kerosakan pada saluran paip.
  • Pihak berkuasa Slovakia percaya paip masih berfungsi dan hentian bekalan merupakan keputusan politik untuk melakukan pemerasan.

“Mengenai saluran paip Druzhba, suruhanjaya sedang memantau situasi ini dengan sangat teliti seperti sebelumnya. Saya boleh mengesahkan bahawa kami telah menghubungi pihak-pihak yang terlibat bagi memudahkan penyambungan semula bekalan minyak melalui saluran paip itu.

Kami akan terus berurusan dengan semua pihak supaya perkara ini terus bergerak ke arah yang betul,” kata Gill kepada pemberita.

Pada Ahad, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban berkata Brussels mendakwa Kyiv bersedia untuk menyambung semula bekalan minyak Rusia ke Hungary dan Slovakia melalui Druzhba bermula Isnin, dengan syarat Hungary menarik balik veto terhadap pinjaman Kesatuan Eropah (EU) sebanyak €90 bilion kepada Ukraine. Bagaimanapun, beliau berkata Hungary tidak bersedia berbuat demikian sehingga transit minyak disambung semula.

Ukraine menghentikan transit minyak Rusia melalui saluran paip Druzhba yang merentasi wilayahnya pada 27 Januari lepas dengan alasan kerosakan pada saluran paip berkenaan.

Namun, pihak berkuasa Slovakia percaya bahawa saluran paip itu masih berfungsi dan tindakan menghentikan bekalan itu merupakan keputusan politik oleh Kyiv yang bertujuan untuk melakukan pemerasan. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI