Kenaikan kos sara hidup himpit rakyat Pakistan

Foto REUTERS

ISLAMABAD, 20 April –Rakyat Pakistan semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup susulan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat yang terus menekan ekonomi negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga petrol dan diesel naik mendadak, besarkan kos sara hidup dan bebankan isi rumah serta perniagaan.
  • Kekurangan bekalan elektrik menyebabkan pemadaman, perniagaan tutup awal dan ramai bergantung kepada generator atau bateri besar.
  • Kerajaan kenakan langkah penjimatan termasuk pemotongan peruntukan bahan api, kerja dari rumah dan penutupan sekolah sementara.

Kenaikan mendadak harga bahan api serta kekurangan bekalan elektrik memberi kesan besar kepada kehidupan harian rakyat Pakistan.

Di ibu negara Islamabad, harga petrol kini mencecah 368 rupee seliter (kira-kira AS$1.32), meningkat daripada 287 rupee pada Februari dan hampir 40 peratus lebih tinggi berbanding sebelum konflik.

Seorang penduduk tempatan, Hisham, berkata kenaikan tersebut memberi kesan besar kerana hampir semua harga barangan bergantung kepada kos bahan api.

Pada awal Mac, kira-kira seminggu selepas serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, kerajaan persekutuan Pakistan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 55 rupee seliter.

Bawah kadar baharu itu, petrol ditetapkan pada 321.17 rupee seliter, manakala diesel meningkat kepada 335.86 rupee seliter.

Pada masa sama, kekurangan bekalan elektrik memburukkan lagi keadaan apabila langkah penjimatan tenaga dilaksanakan.

Premis perniagaan diarahkan tutup seawal pukul 8.00 malam, manakala restoran perlu menghentikan operasi pada 10.30 malam.

Seorang peniaga di Rawalpindi, Idris, berkata peraturan tersebut menjejaskan perniagaan kerana pelanggan tidak sempat datang sebelum waktu penutupan.

Dengan bekalan tenaga yang terhad, memastikan bekalan elektrik stabil menjadi cabaran besar.

Banyak premis termasuk kedai, restoran dan rumah tumpangan kini bergantung kepada generator atau bateri berkapasiti besar bagi menghadapi gangguan bekalan elektrik yang kerap.

Pada 10 Mac lalu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengumumkan beberapa langkah penjimatan bagi menangani krisis bahan api.

Antara langkah tersebut termasuk pengurangan 50 peratus peruntukan bahan api untuk kenderaan jabatan kerajaan selama dua bulan, serta menghentikan penggunaan 60 peratus kenderaan rasmi.

Selain itu, 50 peratus kakitangan sektor awam dan swasta diarahkan bekerja dari rumah kecuali perkhidmatan penting, manakala pejabat kerajaan beroperasi hanya empat hari seminggu.

Semua sekolah di seluruh negara turut diarahkan tutup selama dua minggu sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tenaga.

Sharif pada masa sama memberi amaran kepada peniaga agar tidak menyorokkan barangan keperluan bagi mengambil kesempatan, dan menggesa rakyat supaya bekerjasama serta bertanggungjawab dalam menghadapi krisis tersebut. – REUTERS