
SEREMBAN, 5 Jun – Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
- Proses pembahagian kerusi telah selesai dan dijangka dimuktamadkan pada minggu hadapan.
- Pengumuman dibuat menerusi sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban.
- Menteri Besar mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini untuk proses pilihan raya negeri.
- Notis pembubaran akan dihantar kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata proses pembahagian kerusi telah selesai dan dijangka dimuktamadkan pada minggu hadapan.
“Pembahagian kerusi telah selesai bersama dengan Pakatan Harapan. InsyaAllah kita akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN di seluruh negeri.
“Pembahagian kerusi dah ada ketika ini dan kita akan memuktamadkannya pada minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pengumuman satu sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, malam tadi.

Datuk Seri Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengumumkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya negeri.
“Saya telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam pertemuan di Istana Hinggap dan Tuanku telah perkenan untuk bubarkan DUN Negeri Sembilan bermula 5 Jun 2026 (Jumaat).
“Saya telah mendapat perkenan dan mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” ujar beliau.
Notis pembubaran akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi penentuan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.