
PETALING JAYA, 4 Jun – Kesemua 18 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sebulat suara meluluskan pindaan Statut FAM bagi memulakan reformasi tadbir urus badan induk itu secara menyeluruh.
- Draf statut baharu mengandungi 94 artikel hasil audit untuk memperkukuh tadbir urus bola sepak negara.
- Struktur Exco dipinda: jawatan Timbalan Presiden dimansuhkan dan bilangan Naib Presiden dikurangkan kepada tiga.
- Syarat kelayakan diperketatkan: calon Presiden dan Exco mesti warganegara, menetap di Malaysia dan ada lima tahun pengalaman pengurusan bola sepak.
- Keanggotaan dan penyertaan diperluas: kelab Liga Super automatik layak mengundi, serta penglibatan PFAM, pengadil dan liga diperkuatkan.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, draf statut baharu tersebut mengandungi 94 artikel hasil audit pentadbiran yang dijalankan bertujuan memperkukuh tadbir urus bola sepak negara.
Antara pindaan utama yang diluluskan termasuklah penstrukturan semula komposisi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang melibatkan pemansuhan jawatan Timbalan Presiden serta pengurangan jumlah Naib Presiden kepada tiga kerusi sahaja.
Selain itu, syarat kelayakan calon bagi jawatan Presiden dan Exco turut diperketatkan, di mana calon wajib mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam pengurusan bola sepak serta berstatus warganegara yang menetap di Malaysia.
“FAM secara rasmi memohon audit dilakukan dan membentangkan hasilnya kepada perwakilan. Ini adalah langkah terbuka untuk mengenal pasti kelemahan dan melaksanakan pembaharuan melalui statut baharu bagi memastikan perubahan positif dapat dilaksanakan.
“FAM yang baharu ini akan sangat telus. Segala maklumat dan statut ini akan dimuat naik ke laman web rasmi untuk akses umum sebaik sahaja mendapat kelulusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan Sukan (PJS),” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM, di sini.

Statut baharu itu turut mencadangkan penambahan ahli gabungan yang membolehkan kelab Liga Super menjadi ahli gabungan automatik dan layak mengundi, tertakluk kepada syarat entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.
Penglibatan wakil daripada Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Pengadil, dan liga kebangsaan lain turut diperkasakan dalam struktur baharu ini.
Dalam pada itu, ahli gabungan turut bersetuju secara sebulat suara meluluskan Kod Elektoral dan Peraturan Organisasi badan induk berkenaan.
Pindaan statut ini akan dikemukakan kepada PJS untuk kelulusan rasmi sebelum dimuat naik ke laman web rasmi FAM bagi akses umum sebagai langkah meningkatkan ketelusan organisasi.