PTPTN: Penangguhan bayaran balik, manfaat lebih 400,000 ribu peminjam seluruh negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan  RM2,500 sebulan dan ke bawah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 400,000 peminjam PTPTN dijangka mendapat manfaat daripada langkah sokongan pembayaran balik.
  • Peminjam berpendapatan rendah hingga sederhana hanya dikenakan bayaran minimum RM50 sebulan.
  • Diskaun 10 peratus ditawarkan kepada peminjam yang membuat bayaran secara teratur tanpa perlu melunaskan baki sekali gus.
  • Majikan yang membayar balik pinjaman pekerja akan mendapat potongan cukai untuk pembayaran 2027 hingga 2028.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, peminjam yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam PTPTN.

“Bagi mereka yang berpendapatan RM2,500 ke bawah, pembayaran balik boleh ditangguhkan, manakala bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000, kadar bayaran minimum ditetapkan RM50. Jadi, ada satu kelapangan untuk graduan yang baru hendak memulakan pekerjaan dan kehidupan,” katanya.

Selain itu, diskaun pembayaran balik sebanyak 10 peratus turut disediakan kepada peminjam yang membuat bayaran secara teratur tanpa perlu menjelaskan keseluruhan baki pinjaman secara sekali gus.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50 sebulan.

Manakala majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pekerja diberikan potongan cukai, meliputi bayaran yang dibuat dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Mengenai peruntukan sektor pendidikan tinggi di bawah Belanjawan 2027, beliau berkata terdapat peningkatan peruntukan daripada RM18 bilion kepada lebih RM19 bilion yang merangkumi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan seperti projek penaiktarafan kolej kediaman di universiti awam.

“Fokus ini penting untuk memastikan kita dapat meningkatkan kapasiti kemasukan pelajar ke universiti serta memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan selesa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.