Diskaun tol Deepavali beri ruang penjimatan kepada isi rumah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 November – Diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Deepavali bukan sekadar mengurangkan kos perjalanan, malah memberi ruang kepada isi rumah untuk mengurus perbelanjaan lain yang lazimnya meningkat ketika musim perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diskaun tol bantu isi rumah atur perbelanjaan perayaan, ringankan beban keluarga berpendapatan rendah.
  • Wang dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan lain, mengurangkan tekanan kos sara hidup.
  • Lebihan perbelanjaan pengguna berpotensi merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan aktiviti perniagaan.
  • Kerajaan membayar pampasan kepada syarikat konsesi, inisiatif dinilai dari segi manfaat sosial dan ekonomi.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, penjimatan itu memberi manfaat khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai peruntukan kewangan terhad.

Menurutnya, wang yang dapat dijimatkan daripada pembayaran tol boleh dimanfaatkan bagi menampung keperluan lain, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup ketika musim perayaan.

“Sebagai contoh, jika kos tol pergi dan balik mencecah RM100, pengguna mampu menjimatkan RM50.

“Walaupun jumlah ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, ia adalah penjimatan yang cukup bermakna bagi keluarga yang terikat dengan bajet tertentu,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas kesan lebih luas terhadap ekonomi, beliau berkata lebihan wang di tangan pengguna berpotensi menghasilkan kesan limpahan positif menerusi peningkatan perbelanjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan setempat.

Katanya, manfaat inisiatif itu perlu dinilai bukan hanya berdasarkan kos yang ditanggung kerajaan, tetapi juga pulangan sosial dan ekonomi yang dapat dinikmati masyarakat.

“Walaupun kerajaan dijangka menanggung kos sekitar RM20 juta, kita juga perlu melihat manfaat sosial dan ekonomi yang dapat dinikmati oleh rakyat.

“Saya melihat inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup, tetapi juga sebagai satu usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena Deepavali, bermula tengah malam 6 November hingga 11.59 malam 7 November ini.

Inisiatif itu dijangka melibatkan pembayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya oleh kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.