
ISTANBUL, 5 November – Kerjasama dalam sektor pertahanan dan keselamatan berpotensi menjadi antara pemacu utama peningkatan dagangan dua hala Malaysia-Turkiye selaras sasaran mencapai AS$10 bilion menjelang 2030.
- Perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan dari Turkiye kerana keupayaan teknologi maju negara itu.
- Fokus pada pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran untuk meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia.
- Sebagai negara NATO, produk Turkiye mengikut piawaian NATO; Malaysia mahu belajar dan memanfaatkan pengetahuan bukan sekadar membeli.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, potensi itu boleh diteroka menerusi perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan dari Turkiye yang mempunyai keupayaan teknologi maju dalam industri berkenaan.
Jelasnya, Malaysia bukan sekadar mahu memperoleh peralatan pertahanan dari negara itu semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran bagi meningkatkan keupayaan negara.
“Saya lihat ada banyak potensi yang boleh kita lakukan terutamanya di dalam perolehan peralatan pertahanan dan juga keselamatan. Ini kerana mereka mendahului dalam teknologi ini.
“Disebabkan Turkiye merupakan salah sebuah negara NATO, ertinya piawaian pengeluaran produk pertahanan dan keselamatan mengikut piawaian NATO. Ini sangat penting kerana kita (Malaysia) merasakan bukan sahaja harus membeli, tetapi kita harus belajar serta memanfaatkan pemindahan teknologi dan pengetahuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pra mesyuarat bersama barisan pegawai pewakilan Malaysia dan delegasi negara di sini.
Pada Januari lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan nilai dagangan kepada AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sasaran tersebut meletakkan peningkatan nilai dagangan sebanyak AS$1 bilion setiap tahun.