
SHAH ALAM, 5 November – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
- Konvensyen Integriti Nasional bertema "Integriti Kita, Nilai Kita" anjuran Institut Integriti Malaysia sempena Hari Integriti Nasional.
- Buku 'Kepimpinan Sultan Selangor...' dilancarkan; himpun analisis titah 2002–2026 kepada prinsip kepimpinan amanah, tatakelola, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri seru penjawat awam amalkan keadilan, ihsan, elak salah guna kuasa dan urus sumber berhemah.
Mengangkat tema “Integriti Kita, Nilai Kita”, konvensyen anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) itu diadakan bersempena sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut pada 5 November setiap tahun.
Selain itu, Baginda turut berkenan melancarkan buku ‘Kepimpinan Sultan Selangor Dalam Integriti, Tatakelola Dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku’ terbitan IIM.
Buku tersebut menghimpunkan analisis terhadap titah dan amanat Sultan Selangor bermula tahun 2002 hingga 2026 yang diterjemahkan kepada prinsip kepimpinan beramanah, tatakelola berintegriti, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam sembah ucapannya menyeru setiap kakitangan perkhidmatan awam untuk menterjemahkan prinsip keadilan dan ihsan melalui gerak kerja yang berintegriti dengan mengelakkan diri dari perbuatan salah guna kuasa, pengurusan sumber yang berhemah serta melaksanakan perkhidmatan yang cekap serta adil.
“Setiap penjawat awam hendaklah sentiasa menginsafi bahawa di sebalik setiap dasar, keputusan dan tindakan pentadbiran, terdapat amanah serta harapan rakyat yang perlu dipelihara,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi IIM berkata tuntutan itu adalah selaras dengan titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-13 pada Mac lepas, yang menegaskan bahawa nilai integriti yang dihayati sepenuhnya akan menyumbang kepada pembangunan dan seterusnya membawa kebaikan kepada rakyat.