
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Belanjawan 2027 mengangkat konsep “Waad Nasional”, iaitu komitmen kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, reformasi dan pengurusan fiskal diterjemah kepada manfaat nyata untuk rakyat.
- SARA RM150 sebulan untuk penerima STR, serta SARA MADANI RM100 dua kali bagi penerima berumur 18 tahun ke atas.
- Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, memberi lebihan pendapatan boleh guna kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
- Gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 mulai Jun 2027; gaji RM2,500 diperkenalkan untuk pekerjaan separa mahir dan graduan.
- Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 setiap murid; penangguhan bayaran balik PTPTN untuk peminjam berpendapatan hingga RM2,500.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, belanjawan negara bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat, khususnya mereka yang dihimpit kesusahan.
Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan yang kelima di bawah Kerajaan MADANI.
Bantuan bersasar dan kos sara hidup
Lebih RM80 bilion diperuntukkan bagi subsidi, bantuan dan insentif pada tahun depan sebagai sebahagian usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun pada 2027, membabitkan sehingga sembilan juta penerima.

Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka
Peruntukan bagi Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI pada 2027 ditingkatkan kepada RM750 juta berbanding RM630 juta, dengan sasaran 35,000 penganjuran di seluruh negara.
Cukai
Had pelepasan cukai individu pula dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, manakala kenaikan pelepasan dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Pendapatan dan pekerjaan
Kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, membabitkan lebih empat juta pekerja, manakala gaji minimum RM2,500 sebulan akan diperkenalkan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Bagi sektor gig, pakej RM160 juta akan dibiayai bersama kerajaan dan Grab mulai 2027 untuk meningkatkan pendapatan bersih serta kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing, termasuk bantuan penyelenggaraan kenderaan, insurans dan caruman PERKESO.
Pendidikan
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, membabitkan kira-kira 5.3 juta murid dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Peminjam PTPTN berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan pula diberi penangguhan bayaran balik pada 2027, manakala mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50.
Pertanian dan pekebun kecil

Sebanyak RM2.62 bilion disediakan bagi membantu pesawah menerusi pelbagai subsidi dan insentif, dengan manfaat sekitar RM4,300 sehektar termasuk bagi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.
Bagi pekebun kecil sawit, pembiayaan mudah RM200 juta disediakan untuk menampung kos penanaman semula sehingga 40 hektar, dengan pekebun hanya menanggung faedah dua peratus dan bayaran balik ditangguhkan selama empat tahun.
Sabah dan Sarawak
Sabah dan Sarawak kekal menerima peruntukan Persekutuan tertinggi pada 2027, masing-masing RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion, selain Pemberian Khas dengan kadar interim terkini RM1.5 bilion.
Penjawat awam dan pesara
Bantuan Khas Kewangan RM1,500 akan diberikan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala lebih sejuta pesara kerajaan menerima RM750.

Jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan turut dinaikkan daripada 360 kepada 490 hari, dengan maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran.
Secara keseluruhan, Belanjawan 2027 meletakkan rakyat sebagai teras, bukan sahaja melalui bantuan langsung, malah menerusi pembaharuan dasar yang menyentuh pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan kebajikan.
Tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” diterjemah melalui usaha memacu pertumbuhan ekonomi tanpa mengetepikan keperluan memastikan manfaatnya dirasai setiap lapisan masyarakat.
Deretan peruntukan dan pembaharuan yang diumumkan memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai jika tidak disertai peningkatan taraf hidup, peluang yang lebih luas dan kesejahteraan rakyat.