JDT benam Penang FC, tempah tiket separuh akhir

Foto FB JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU, 9 Oktober – Johor Darul Takzim (JDT) mudah mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA, selepas merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, petang Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT mara dengan agregat 11-3 selepas mencatat kemenangan 7-2 sewaktu aksi suku pertama di tempat lawan.
  • Gol JDT oleh Bergson (pen, min 13), Nacho Mendez (min 23), Shahab Zahedi dan Manuel Hidalgo; Stefano Brundo jaringkan sepakan percuma saguhati.
  • Menanti lawan separuh akhir: KL City FC atau DPMM FC, keputusan aksi dijadualkan 11 Oktober.
  • Xisco Munoz tekankan penambahbaikan dalaman pasukan; beliau beri fokus 80 peratus pada pasukannya, 20 peratus pada lawan.

Penyandang juara empat kali berturut-turut itu mara dengan agregat 11-3 selepas mencatat kemenangan 7-2 di tempat lawan pada aksi suku akhir pertama.

Pesta gol JDT bermula pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang kebangsaan, Bergson Da Silva, manakala gol kedua muncul pada minit ke-23, sumbangan Nacho Mendez.

Sebelum tamat aksi separuh masa pertama, Shahab Zahedi pula menghukum pelawat dengan jaringan ketiga.

Babak separuh masa kedua berlangsung seimbang, dengan Penang FC berjaya mengekang asakan Harimau Selatan. Bagaimanapun Manuel Hidalgo berjaya mencetak gol keempat JDT pada minit ke-72 untuk tuan rumah terus selesa, sebelum dikejutkan dengan jaringan pelawat, melalui sepakan percuma Stefano Brundo pada minit ke-86.

Menanti JDT di separuh akhir nanti sama ada KL City FC atau DPMM FC yang akan beraksi 11 Oktober nanti.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz akan menganalisis aksi kedua-dua pasukan itu sebelum melakukan persiapan separuh akhir.

“Bagi saya, keputusan itu bukan perkara utama. Apa yang lebih penting ialah kami kini menjadi sebahagian daripada musim ini. Kami masih perlu memperbaiki banyak perkara dalam pasukan sendiri.

Kadangkala, saya memberikan 80 peratus fokus kepada pasukan sendiri dan 20 peratus kepada pasukan lawan. Buat masa ini, saya lebih menumpukan perhatian kepada aspek yang perlu kami perbaiki dalam pasukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berpuas hati apabila pemainnya menunjukkan peningkatan pada aksi kedua, selepas
dibelasah 2-7 di laman sendiri sebelum ini.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat peningkatan apabila defisit lima gol sebelum ini berjaya dikurangkan kepada tiga gol hari ini. Ini menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan diri, kesefahaman dalam permainan serta semangat juang pemain untuk berusaha demi pasukan.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan ini dan berharap momentum positif dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.