Belanjawan 2027: Peruntukan RM757 juta pemacu pembangunan sukan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan RM757 juta bagi sektor sukan menerusi Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan secara strategik bagi memastikan pembangunan sukan negara tidak sekadar tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya besar, sebaliknya mampu membina ekosistem sukan yang mampan dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan diagihkan: RM460 juta untuk pembangunan sukan negara, RM240 juta untuk persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
  • Penganalisis menyokong peningkatan peruntukan tetapi mahu pembiayaan diluaskan untuk menjadikan sukan pemacu ekonomi negara, bukan sekadar melahirkan atlet.
  • Dana mencukupi diperlukan untuk latihan berkualiti, penyertaan pertandingan kompetitif dan persiapan rapi menjelang Sukan SEA 2027 dan LA 2028.
  • Peruntukan mesti disertai perancangan jelas, pelaksanaan berkesan dan penilaian hasil supaya memberi impak jangka panjang kepada pembangunan sukan.

Daripada jumlah itu, RM460 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan negara, manakala RM240 juta disediakan untuk persiapan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, peningkatan peruntukan itu merupakan perkembangan positif, namun pendekatan pembiayaan sukan perlu diperluas supaya sukan turut dilihat sebagai pemacu ekonomi negara, bukan sekadar medium melahirkan atlet dan menyediakan perkhidmatan sukan.

Menurutnya, perubahan pendekatan itu memerlukan komitmen pelaburan yang lebih besar bagi menggerakkan pembangunan sukan secara menyeluruh.

“Ini satu perkara yang baik tentang belanjawan. Kita tidak boleh menganggap sukan hanya sebagai penyediaan perkhidmatan dan melahirkan atlet. Jika kita mahu keluar daripada status quo itu, kita perlu memberikan peruntukan yang lebih besar kepada sukan,” katanya.

Beliau berkata, suntikan dana yang mencukupi penting bagi memastikan atlet mendapat akses kepada latihan berkualiti, penyertaan dalam pertandingan kompetitif serta persiapan rapi menjelang kejohanan utama, khususnya Sukan SEA 2027 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembiayaan sukan tidak seharusnya hanya berlegar pada persiapan atlet elit dan sasaran pingat, sebaliknya perlu turut merangkumi pembangunan bakat, peningkatan kualiti kejurulatihan serta peluasan peluang pertandingan.

“Tetapi suntikan dana itu sangat penting. Kalau dah kita tak ada suntikan dana yang besar untuk persiapan atlet negara kita, terutama kita bercakap tentang Sukan SEA 2027 dan juga LA2028, memang dia akan terbantut,”jelasnya.

Sehubungan itu, peruntukan RM757 juta berkenaan perlu disusuli perancangan yang jelas, pelaksanaan berkesan dan penilaian hasil supaya setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan impak kepada prestasi atlet serta pembangunan sukan negara dalam jangka panjang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.