
KUALA PERLIS, 10 Oktober – Lebih 500 tenaga pengajar dan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis menyertai Sambutan Hari Sukan Negara 2026 bagi menyemarakkan budaya sukan serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif.
- Sambutan memupuk semangat kesukanan dan menjadi platform penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
- Penganjuran bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan tenaga pengajar dan pelajar melalui gaya hidup cergas.
- Aktiviti fizikal membantu mengurangkan risiko penyakit kronik dan meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan.
- Acara merangkumi larian santai, sepak takraw, badminton, bola jaring, bola sepak, sukan rakyat dan tarik tali.
Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zaliha Abu Bakar berkata, sambutan itu bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, malah menjadi platform menyatupadukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, penganjuran itu turut bertujuan membudayakan sukan, khususnya dalam kalangan tenaga pengajar dan pelajar, menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif dalam kehidupan seharian.
Amalan itu juga dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti fizikal.
Sambutan yang berlangsung di Dataran IKBN Kuala Perlis itu dimeriahkan dengan pelbagai acara, termasuk larian santai, sepak takraw, badminton, bola jaring, bola sepak, sukan rakyat serta tarik tali.
Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu minggu kedua Oktober setiap tahun dengan pelbagai aktiviti sukan, termasuk sukan tradisional, bagi menggalakkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh.