
SERDANG, 10 Oktober – Seramai 100 atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Larian Obor Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di sekitar kampus itu malam tadi bagi menyemarakkan semangat kesukanan menjelang temasya berkenaan pada 10 hingga 19 Disember ini.
- Program bertujuan meningkatkan kesedaran dan penglibatan mahasiswa terhadap temasya Sukan Universiti ASEAN AUG 2026.
- Siri larian IPT dijangka melibatkan kira-kira 2,000 warga universiti untuk membangkitkan sokongan moral kontinjen negara.
- Malaysia kembali menjadi tuan rumah selepas 2008; AUG 2026 melibatkan lima universiti awam sebagai tuan rumah bersama: UPM, UKM, UPNM, UM, UiTM.
- Larian obor bersifat simbolik, membawa mesej perpaduan dan semangat kesukanan, mencerminkan aspirasi warga universiti terhadap kejayaan antarabangsa atlet negara.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan penglibatan mahasiswa terhadap temasya sukan yang menghimpunkan atlet universiti dari seluruh Asia Tenggara.
Menurutnya, sokongan warga universiti perlu digerakkan lebih awal, khususnya di institusi yang terlibat sebagai tuan rumah AUG 2026.
“Program ASEAN University Games ini khusus untuk pelajar yang sedang berada di IPT. Sebab itu, kita mengadakan larian obor di universiti supaya kesedaran dapat dimulakan lebih awal, terutama di peringkat IPT yang menjadi tuan rumah,” katanya.
Tambahnya, siri Larian Obor AUG 2026 di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dijangka melibatkan kira-kira 2,000 warga universiti bagi membangkitkan sokongan moral kepada kontinjen negara.
Malaysia kembali menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2008. AUG 2026 akan melibatkan lima universiti awam sebagai tuan rumah bersama, iaitu UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Mohd. Tamrin berkata, UPM menjadi lokasi persinggahan kedua Larian Obor AUG 2026 selepas siri jelajah itu dimulakan oleh KPT.
“Penyertaan 100 atlet UPM, termasuk atlet karate dan olahraga, berlangsung bersempena Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Kolej UPM Sesi 2026/2027 di Stadium UPM.
“Larian bermula dari pintu masuk utama universiti sebelum berakhir di pentas utama stadium, dengan obor dibawa secara bergilir-gilir oleh wakil pengurusan universiti dan atlet,” katanya.
Acara itu diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Atlet dan Staf, Akademi Sukan UPM, Muhammad Malik Ahmad Tobias, serta disertai tiga atlet kebangsaan, iaitu Muhammad Syafiq Syardi (karate), Nor Sarah Adi (lompat bergalah) dan Muhammad Haziq Muhammad Akhir (olahraga).
Prof. Dr. Shamsul Bahri turut menyertai segmen akhir larian menuju ke pentas utama stadium.
Beliau berkata, larian obor itu bukan sekadar acara simbolik, malah membawa mesej perpaduan dan semangat kesukanan, selain mencerminkan aspirasi warga universiti untuk menyaksikan atlet negara mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Siri Larian Obor AUG 2026 seterusnya akan menjelajah ke UM, UKM, UPNM dan UiTM bagi memperluas promosi temasya serta menyemarakkan sokongan warga IPT menjelang Disember ini.