
SEPANG, 9 Oktober – Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 6.20 petang tadi bagi memulakan lawatan negara dua hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
- Lawatan sulung Presiden Mesir sejak 2014 dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan ke tahap Perkongsian Strategik
- Presiden akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menghadiri Majlis Santapan Negara dihoskan Sultan Ibrahim bagi meraikan delegasi Mesir
- Pertukaran MoU dan pertemuan dengan Perdana Menteri meneliti kerjasama dua hala, isu serantau serta perkembangan perdagangan yang meningkat
Ketibaan beliau dan delegasi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau turut menerima istiadat kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar.
Ketibaan beliau turut diserikan dengan persembahan Istana Budaya.
Lawatan itu merupakan lawatan sulung Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Mesir pada Jun 2014.
Lawatan berkenaan dijangka memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1959, termasuk menerusi usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir ke tahap Perkongsian Strategik.
Sepanjang lawatan, Abdel Fattah El-Sisi dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, selain menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Sultan Ibrahim bagi meraikan beliau dan delegasi Mesir.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneliti kemajuan kerjasama dua hala serta meneliti perkembangan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir.
Dari segi perdagangan, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Afrika pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM3.08 bilion.
Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion, mencerminkan potensi pengukuhan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Mesir.