Belanjawan 2027 : Kadar cukai pendapatan PMKS turun satu mata peratusan

Kerajaan turut mencadangkan had nilai setiap aset kecil yang layak mendapat elaun modal dinaikkan kepada RM3,000

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kadar cukai pendapatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diturunkan sebanyak satu mata peratusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Had nilai aset kecil bagi elaun modal dinaikkan kepada RM3,000.
  • Elaun Modal Dipercepatkan bagi loji, jentera dan peralatan serta perisian ICT dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.
  • Pengilang boleh menuntut semula cukai jualan untuk mesin, alat ganti, peralatan dan bahan mentah tempatan.
  • Duti setem RM10 untuk perjanjian kredit dan P2P; pengecualian duti setem ke atas pembukaan akaun simpanan dan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama bakal diturunkan kepada 14 peratus, manakala kadar bagi pendapatan bercukai bagi banjaran RM150,000 hingga RM600,000 akan diturunkan kepada 16 peratus.

“Ini bermakna, pendapatan tambahan kepada RM300,000 PMKS sehingga RM6,000,”kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Beliau turut memaklumkan kerajaan turut mencadangkan had nilai setiap aset kecil yang layak mendapat elaun modal dinaikkan kepada RM3,000.

“Bagi syarikat selain PMKS, had keseluruhan tuntutan dinaikkan kepada RM30,000.

“Pengilang boleh menuntut semula cukai jualan bagi mesin, alat ganti dan peralatan yang dibeli daripada pedagang atau pengedar tempatan.

“Kemudahan itu merangkumi bahan mentah untuk menghasilkan produk farmaseutikal, makanan ternakan, baja dan racun perosak,”katanya.

Bagi meningkatkan produktiviti syarikat tempatan pula, Perdana Menteri memaklumkan Elaun Modal Dipercepatkan bagi perbelanjaan loji dan jentera tempatan serta peralatan dan perisian ICT dilanjutkan hingga 31 Disember 2030.

“Bagi membantu aliran tunai PMKS melalui fasiliti kredit yang disediakan bank kepada Syarikat Peringkat Pertengahan, dicadangkan perjanjian menggunakan lebihan kredit yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030, dikenakan duti setem hanya RM10.

“Duti setem bagi perjanjian pinjaman melalui platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) juga ditetapkan pada RM10 bagi tempoh sama.

“Kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa mulai 1 Januari depan,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.