FOI 2026 himpunkan idea, inovasi dan aspirasi masa hadapan negara

Foto KPT

PUTRAJAYA, 10 November – Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 kembali dengan edisi ketiga pada 17 hingga 19 November ini, menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat untuk membincangkan hala tuju serta masa hadapan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema 'Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani' menekankan keseimbangan inovasi teknologi dan nilai kemanusiaan.
  • Matlamat: memperluas akses masyarakat kepada idea dan pendidikan tinggi serta memperkukuh Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan.
  • Fokus perbincangan meliputi peranan kecerdasan buatan, strategi menarik mengekalkan bakat tempatan, dan peranan IPT menjelang 2040.
  • Hasil penting: Risalah Idea Malaysia dengan sekurang-kurangnya 10 agenda utama akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), festival bertemakan “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Penganjuran kali ini meneruskan usaha memperluas akses masyarakat kepada idea dan pendidikan tinggi, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serta penyelidikan.

“Festival berkenaan bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebelum diteruskan dengan Himpunan Idea Mahasiswa Negara sebagai platform mahasiswa mengetengahkan pandangan dan aspirasi mengenai masa hadapan negara,” menurut kenyataan.

FOI 2026 turut menampilkan penyertaan Menteri Pendidikan Tinggi dari Filipina, Bangladesh, Kazakhstan, Indonesia, Türkiye dan Timor-Leste, selain beberapa menteri serta timbalan menteri daripada kementerian lain yang akan terlibat dalam forum dan sidang selari.

Antara fokus utama perbincangan ialah empat persoalan strategik nasional merangkumi peranan kecerdasan buatan (AI), usaha menarik dan mengekalkan bakat tempatan serta peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam melahirkan pembina negara menjelang 2040.

Turut diberi perhatian ialah penggunaan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam menghadapi cabaran masyarakat menua.

Menurut KPT, lebih 20 pengisian utama disusun menerusi tiga kerangka, iaitu Explore, Challenge dan Translate, termasuk Sidang Idea Malaysia (SIM), IdeaPulse serta persidangan dan bengkel dasar.

Antaranya ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), University Network for Research Collaboration (iUNRC) dan Environmental, Social and Governance Summit (ESG Summit), selain meja bulat integriti bersama Elsevier.

“Festival itu turut menyaksikan penganjuran Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI), Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0), University Social Enterprise Competition (USEC) serta Malaysia Scopus Research Star Awards.

“Selain pengisian akademik, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan mengunjungi pameran termasuk Wall of Ideas, World of Tunnel, Pavilion KPT, pameran industri dan penyelidikan IPT serta Mini Karnival Jom Masuk Universiti.

“Turut disediakan ialah perkhidmatan bergerak Hospital Pengajar Universiti (HPU), Ideas in Action: Edutainment & Innovation @ FOI, Ideatech: Innovation Showcase dan karnival kerjaya,” menurut kenyataan KPT.

Sebagai hasil utama festival, Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

Penyerahan risalah itu akan berlangsung pada majlis penutupan yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Orang ramai dijemput mengunjungi FOI 2026 dari 17 hingga 19 November ini, bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang di PICC, Putrajaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.