
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Langkah kerajaan meningkatkan peruntukan Dana Tabung Bantuan Perubatan daripada RM40 juta kepada RM60 juta dilihat sebagai usaha positif dalam memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan perubatan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan kewangan.
- Dana membantu pesakit kurang berkemampuan menampung kos peralatan perubatan dan ubat-ubatan mahal melalui permohonan di peringkat hospital.
- Peruntukan RM770 juta untuk perolehan peralatan perubatan canggih menggantikan peralatan lama dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.
- Peruntukan RM200 juta bagi penyumberluaran pesakit ke hospital swasta mengurangkan tempoh menunggu serta mempercepatkan akses rawatan.
Pensyarah Utama Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, dana berkenaan membantu pesakit yang kurang berkemampuan menampung kos pembelian peralatan perubatan serta ubat-ubatan yang mahal.
“Saya bagi contoh, katakan pesakit memerlukan implan ataupun implan dalam badan apabila mengalami kemalangan dan sebagainya. Ada implan yang telah disediakan oleh kerajaan, ada juga implan yang terpaksa dibeli. Tapi bagi mereka yang tidak berkemampuan, maka dana ini boleh dipohon di peringkat hospital yang akan dipanjangkan kepada KKM dan melalui polisi-polisi tertentu dan kita menyalurkan dana ataupun Tabung Bantuan Perubatan ini kepada pesakit yang memerlukan,” katanya kepada RTM.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik peruntukan RM770 juta bagi perolehan peralatan perubatan canggih dan moden untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang disifatkan tepat pada masanya bagi menggantikan peralatan lama di hospital dan klinik kesihatan selain memastikan fasiliti kesihatan negara dilengkapi peralatan yang lebih moden serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pesakit.
Dalam pada itu, beliau turut memuji peningkatan peruntukan kepada RM200 juta pada 2027 bagi pelaksanaan inisiatif penyumberluaran pesakit ke hospital swasta yang berupaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan, selain memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan lebih cepat dan berkesan.