
DHAKA, 14 Oktober – Bangladesh mengecam keras gangguan terhadap bekas Ketua Penasihat kerajaan sementara Profesor Muhammad Yunus di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York dan menggesa tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa perwakilan Bangladesh di New York telah diarahkan untuk membawa perkara itu kepada perhatian agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
- Kementerian Luar arah perwakilan di New York bawa perkara kepada agensi penguatkuasaan tempatan untuk tindakan undang-undang sewajarnya.
- Pelaku disyaki berkaitan pertubuhan politik Awami League yang diharamkan.
- Kementerian sifatkan Prof Yunus tokoh dihormati antarabangsa dan penerima Hadiah Nobel Keamanan.
- Kementerian berkata tindakan itu mencemarkan imej Bangladesh dan rakyatnya di mata dunia.
Menurut kenyataan itu, pelaku disyaki mempunyai kaitan dengan pertubuhan politik Bangladesh Awami League yang diharamkan.
Kementerian menyifatkan Prof Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan, sebagai tokoh yang amat dihormati masyarakat antarabangsa dan mengecam gangguan yang dihadapinya di negara asing.
Kementerian memaklumkan mereka yang bertanggungjawab telah mencemarkan imej Bangladesh dan rakyatnya di mata dunia.- BERNAMA