Lisbon gantung perkhidmatan e-skuter

Foto AFP

LISBON, 16 Oktober – Lisbon menggantung perkhidmatan perkongsian skuter elektrik susulan isu keselamatan, peningkatan kemalangan dan pelanggaran peraturan lalu lintas yang terus berlaku meskipun kawalan lebih ketat telah diperkenalkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Bandar: sistem perkongsian skuter tidak berfungsi dan perlukan tindakan lanjut.
  • Pengguna menunggang melawan arus, melakukan tindakan berbahaya dan meninggalkan skuter; pihak berkuasa mengutip lebih 1,200 skuter sebulan.
  • Peraturan 2023 mengurangkan bilangan skuter, mengehadkan kelajuan dan menetapkan kawasan parkir, namun langkah gagal atasi masalah.

Datuk Bandar Lisbon, Carlos Moedas, berkata sistem sedia ada tidak berfungsi dengan baik dan memerlukan tindakan lanjut bagi menangani masalah yang berlarutan.

Menurutnya, pengguna skuter elektrik didapati menunggang melawan arus di jalan sehala, melakukan tindakan berbahaya serta meninggalkan skuter di kawasan awam sehingga mengganggu orang ramai.

Beliau berkata, pihak berkuasa bandar mengutip lebih 1,200 skuter yang ditinggalkan di ruang awam setiap bulan.

Pada 2023, Lisbon memperkenalkan peraturan baharu selepas berunding dengan penyedia perkhidmatan, termasuk mengurangkan jumlah skuter komersial, mengehadkan kelajuan maksimum dan menetapkan kawasan parkir yang dibenarkan.

Ketika itu, kepadatan skuter elektrik di Lisbon antara yang tertinggi di Eropah.

Bagaimanapun, langkah berkenaan gagal menyelesaikan masalah sepenuhnya, sekali gus mendorong desakan supaya perkhidmatan perkongsian skuter elektrik dihentikan.

Beberapa bandar lain di seluruh dunia turut melarang atau mengehadkan penggunaan perkhidmatan berkenaan susulan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan peningkatan kemalangan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.