Jualan PMKS bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum

Datuk Seri R. Ramanan

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatat hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai Jun 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif kerajaan menumpukan pembinaan tenaga kerja lebih berkemahiran, berpendapatan tinggi dan dilindungi untuk mencapai ekonomi bernilai tinggi.
  • Kementerian sedang memperincikan modul e-Wages bagi memudahkan serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.
  • e-Wages disasarkan memastikan gaji dibayar mengikut kontrak, termasuk elaun, insentif, bonus, serta meliputi pekerja bukan warganegara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pengecualian itu diberikan bagi memberi ruang penyesuaian kepada perusahaan terlibat susulan pengumuman kenaikan gaji minimum menerusi Belanjawan MADANI 2027.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja namun saya ingin tegaskan, PMKS hasil jualan dibawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang penyesuaian.

“Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan satu hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu membina tenaga kerja Malaysia yang lebih berkemahiran, berpendapatan tinggi dan dilindungi, seiring dengan aspirasi negara menuju ekonomi bernilai tinggi,” katanya dalam sidang media Perintah Gaji Minimum 2026 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-Wages bagi memudahkan serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.

Mekanisme itu bertujuan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah dan tempoh yang ditetapkan menerusi Akta Kerja 1955.

Ia juga bagi memastikan gaji dibayar mengikut kadar yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan termasuk elaun, insentif dan bonus.

Pelaksanaan e-Wages turut bertujuan mengurangkan isu gaji tidak dibayar, pembayaran lewat serta bayaran yang tidak mengikut kadar sebenar atau berada di bawah kadar gaji minimum.

Mekanisme itu dicadangkan merangkumi semua pekerja termasuk bukan warganegara, sebagai sebahagian usaha memperkukuh pemantauan pembayaran gaji dan pematuhan terhadap undang-undang perburuhan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.