Gaji permulaan disusun ikut kelayakan, kemahiran pekerja

Datuk Seri R. Ramanan

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Kerajaan sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan jenis pekerjaan bagi memastikan struktur pendapatan pekerja lebih jelas serta setimpal dengan nilai pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KESUMA mencadangkan penanda aras gaji bagi MASCO 1 hingga MASCO 3 untuk graduan, diploma, DKM Tahap 4 dan SKM Tahap 3.
  • Pendekatan gaji separa mahir diselaraskan melalui Garis Panduan Berasaskan Kemahiran, melibatkan pemegang SKM Tahap 1 dan 2.
  • Garis panduan dan kadar gaji akan dikemas kini mengikut data DOSM, dimuat naik di e-MASCO dan diterbitkan Jun 2027.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, garis panduan berasaskan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) itu akan menjadi rujukan lebih komprehensif kepada majikan dan pekerja.

“Untuk pekerjaan graduan, KESUMA mencadangkan penanda aras gaji bagi MASCO 1 hingga MASCO 3 yang melibatkan graduan lepasan ijazah, diploma, Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 akan dilaksanakan terlebih dahulu dalam bentuk garis panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Perintah Gaji Minimum 2026 di sini hari ini.

Bagi pekerjaan separa mahir pula, pendekatan itu akan diselaraskan menerusi Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berasaskan Kemahiran.

Ia turut melibatkan pemegang SKM Tahap 1 dan 2, sekali gus membolehkan kerangka gaji pokok permulaan diperluas secara menyeluruh meliputi kategori MASCO Satu hingga MASCO Lapan.

Kadar gaji pokok permulaan yang diterbitkan akan mengambil kira keadaan pasaran buruh semasa dan dikemas kini berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Maklumat berkenaan akan dimuat naik dalam portal e-MASCO serta diterbitkan bersama Perintah Gaji Minimum Baharu pada Jun 2027.

Dalam pada itu, KESUMA akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 bagi memasukkan elemen kelayakan tahap pendidikan.

Pindaan itu bagi membolehkan pembayaran gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan memandangkan akta berkenaan ketika ini tidak mempunyai peruntukan khusus bagi menetapkan gaji minimum berdasarkan tahap pendidikan.

“Kami akan akan bawa secepat mungkin. Banyak yang kita nak lakukan, kita nak lakukan serta-merta. Sudah tentu kalau kita lihat memang pasti akan dilaksanakan sebelum Jun 2027 sebab itu wajib digunakan. Jadi akta itu mesti disediakan dan sudah tentu kementerian, kita akan laksanakan secepat mungkin,” katanya lagi.

Usaha membangunkan struktur gaji lebih jelas berdasarkan pekerjaan, kelayakan dan kemahiran itu turut bertujuan menangani isu pemampatan gaji serta meningkatkan nilai pekerjaan.

Ia selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mencapai gaji penengah RM3,500 dan meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40 peratus menjelang 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.