Jerebu: ABIM tekankan tindakan susulan berkesan

Jerebu menyelubungi perairan sekitar Pelabuhan Klang ketika tinjauan hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menekankan kepentingan tindakan susulan berkesan bagi memastikan usaha diplomatik Malaysia dan Indonesia menangani jerebu rentas sempadan memberikan hasil nyata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan susulan mesti jelas, dinilai dan dimaklumkan; kejayaan diukur melalui pengurangan pendedahan awam, tindakan terhadap punca kebakaran dan pengurangan risiko berulang.
  • Pihak berkuasa perlu bertindak terhadap syarikat yang melakukan pembakaran atau cuai, serta laksanakan pemulihan kawasan dan pencegahan kebakaran berulang.
  • Utamakan kesihatan awam dengan mempercepat bantuan pemadaman, maklumat kualiti udara mudah dicapai, serta lindungi kanak-kanak, warga emas dan pesakit.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan memaklumkan, komitmen yang dicapai pada peringkat kepimpinan kedua-dua negara diterjemah kepada pelaksanaan yang dapat dinilai serta perkembangan dimaklumkan secara berkala kepada rakyat.

“Status penyelarasan bantuan pemadaman kebakaran, kekangan operasi dan jangka masa tindakan susulan perlu diperjelas bagi memastikan kerjasama memenuhi keperluan di lapangan.

“Ukuran kejayaan usaha ini ialah berkurangnya pendedahan rakyat kepada pencemaran, tindakan terhadap punca kebakaran dan pengurangan risiko kejadian berulang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut Ahmad Fahmi, kerjasama dua hala dan mekanisme ASEAN perlu dimanfaatkan bagi mempercepat bantuan pemadaman dengan kesihatan rakyat menjadi keutamaan.

Hubungan baik Malaysia dan Indonesia turut membawa tanggungjawab bersama melindungi masyarakat terjejas akibat pencemaran jerebu di kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat yang terbukti melakukan pembakaran atau cuai sehingga melanggar undang-undang, termasuk syarikat mempunyai kepentingan Malaysia.

“Pemadaman perlu disusuli pemulihan kawasan terjejas dan pencegahan kebakaran berulang. Kos pencemaran tidak wajar terus ditanggung masyarakat sementara pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada tindakan.

“Perlindungan rakyat di dalam negara perlu berjalan serentak dengan usaha diplomatik. Maklumat kualiti udara dan panduan tindakan mesti mudah dicapai serta disampaikan dengan jelas,” tambah kenyataan itu.

Majikan perlu menyesuaikan waktu dan tugasan pekerja luar serta menyediakan perlindungan bersesuaian. Institusi pendidikan pula perlu memastikan keselamatan pelajar serta kesinambungan pembelajaran ketika kehadiran terjejas.

Perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan bagi mengurangkan pendedahan mereka kepada pencemaran jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.