Pahang raih pelaburan RM421 juta menerusi 12 perjanjian pelaburan

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Pahang memperoleh 12 perjanjian pelaburan bernilai RM421 juta sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan jangka kereta api laju siap akan tarik lebih banyak pelabur kerana rangkaian pengangkutan yang mesra.
  • Majlis pertukaran dokumen MoU diadakan; kejayaan diukur melalui keupayaan merealisasikan inisiatif, bukan hanya pemeteraian.
  • Kerjasama pelaburan utamakan penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, pengukuhan PMKS dan pembawaan teknologi baharu.
  • Kerajaan tubuhkan Pahang Barat Plus untuk merapatkan jurang pembangunan serta laksanakan PET30 dengan tujuh kluster pelaburan strategik.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua perjanjian berkenaan bersifat komited dan mencerminkan komitmen pelabur untuk meneruskan pelaburan.

“Hari ini kita menyaksikan 12 perjanjian pelaburan komited yang melibatkan RM421 juta. Ini satu perkembangan yang sangat baik.

“Saya menjangkakan apabila kereta api laju kita siap sepenuhnya, akan lebih ramai syarikat yang ingin melabur di Pahang, kerana kita mempunyai rangkaian pengangkutan yang mesra untuk mereka melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) sempena SIBS 2026 di sini, hari ini.

Kerjasama pelaburan tersebut memberi keutamaan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan membawa masuk teknologi baharu.

Di samping itu, bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dinikmati secara lebih seimbang, kerajaan negeri turut menubuhkan Pahang Barat Plus bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan di negeri itu.

“Kita tidak mahu 1.67 juta rakyat Pahang merasa terpinggir dan perkembangan ekonomi mereka tidak setara. Ada yang tinggi dan ada juga yang rendah. Kita sebolehnya mahu seimbangkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kejayaan kerjasama pelaburan bukan sahaja diukur berdasarkan pemeteraian memorandum persefahaman atau nilai pelaburan yang diumumkan, tetapi juga keupayaan merealisasikan setiap inisiatif ke peringkat pelaksanaan.

SIBS 2026 berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober dengan Pahang menyertai pameran menerusi Pavilion Invest Pahang bertemakan “Gerbang Pelaburan Pantai Timur” bagi mempromosikan tujuh kluster pelaburan, selaras Pelan Induk Transformasi Ekonomi Pahang 2030 (PET30).

Tujuh kluster berkenaan merangkumi penubuhan bandar Pahang Aerospace, pembangunan berorientasikan transit (TOD) sepanjang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kemudahan berniaga, membina industri perkilangan, pembangunan tanah komersial Smart Living, pembangunan indusri halal dan menyokong pertumbuhan syarikat pemulaan.

Kerajaan negeri turut mempergiat pembangunan wilayah barat dan meneroka potensi wilayah timur, disokong pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi mempercepat pembangunan selaras dengan “Aspirasi Pahang 1st”.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.