
JOHOR BAHRU, 16 Oktober – Polis sedang menunggu pengesahan rasmi daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) mengenai individu terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa yang membawa 521 kilogram syabu dari Laos ke Filipina termasuk dakwaan penglibatan ahli politik Filipina.
- Sindiket dipercayai menggunakan modus operandi menyewa pesawat peribadi untuk mengangkut dadah.
- Polis berkata maklumat diterima kini berdasarkan laporan pemberita di Filipina.
- Pada 1 Oktober, pihak berkuasa Laos merampas dadah daripada sebuah jet persendirian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa maklumat yang diterima menunjukkan sindiket berkenaan menggunakan modus operandi menyewa pesawat peribadi untuk membawa dadah.
“Berhubung kenyataan yang dikeluarkan pihak Filipina itu, kita masih menunggu pengesahan rasmi sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan ahli politik di negara itu atau tidak.
“Setakat ini, maklumat yang kita terima adalah berdasarkan laporan pemberita di sana,” katanya dalam sidang media kejayaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Jurucakap PDEA, Joseph Frederick Calulut, pada Khamis melaporkan bahawa seorang ahli politik dari Mindanao dipercayai terlibat dalam sindiket itu dengan membiayai sewaan jet peribadi yang digunakan untuk membawa 521 kilogram dadah disyaki syabu.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas dadah itu daripada sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang.