
JOHOR BAHRU, 16 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima individu yang ditahan di Jepun gara-gara membawa masuk lima kilogram dadah jenis kokain adalah keldai dadah.
- Individu terbabit mengakui mengetahui barang yang dibawa merupakan barangan terlarang.
- Mereka tiada rekod jenayah lampau; kemungkinan penglibatan sindiket masih disiasat.
- Setiap individu menerima ganjaran RM8,000 untuk membawa kasut berisi dadah.
- Penggunaan ejen pelancongan dilaporkan; ejen tempatan tidak ditahan dan dadah disorok dalam pelapik kasut bernilai anggaran RM3.1 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, semua individu berkenaan mengetahui barang yang dibawa ke negara itu merupakan barang terlarang.
“Mereka ini merupakan keldai dadah dan kelima-limanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, kemungkinan mereka terlibat dengan sindiket dadah masih dalam siasatan.
“Sama ada mereka pernah ke negara lain sebelum ini menggunakan modus operandi sama juga masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kejayaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kesemua yang ditahan itu menerima ganjaran lapan RM8,000 setiap seorang untuk membawa kasut berisi dadah tersebut.
Kumpulan itu menggunakan khidmat seorang ejen pelancongan untuk ke Jepun. Bagaimanapun ejen warga tempatan berkenaan tidak ditahan dan dibenarkan pulang.
10 Oktober lalu, pihak berkuasa Jepun menahan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo dan menemui lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut. Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3.1 juta.