Polis terima 9 laporan bungkusan mencurigakan di sekolah

Bungkusan yang mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik

SEREMBAN, 16 Oktober – Polis Negeri Sembilan menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan atau dihantar ke beberapa sekolah di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom PDRM mengesahkan tiada bahan letupan atau berbahaya ditemukan.
  • Siasatan awal mendapati semua bungkusan mempunyai persamaan dari segi bentuk dan kandungan.
  • Bungkusan hanya mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
  • Polis giat mengesan individu bertanggungjawab serta menasihati sekolah dan orang ramai melapor bungkusan mencurigakan.

Bagaimanapun, pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan dalam bungkusan berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, lima laporan diterima di daerah Nilai, manakala empat lagi di Tampin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua kejadian mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.

“Bungkusan tersebut dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis setelah nama penerima yang tertera pada bungkusan tidak hadir untuk mengambilnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan bungkusan terbabit hanya mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.

Polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan berkenaan serta mengenal pasti motif kejadian.

Pihak pengurusan sekolah dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalihkan sebarang bungkusan mencurigakan.

“Sebarang penemuan hendaklah segera dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan keselamatan selanjutnya”, katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.