28 PATI ditahan di perairan Perlis

28 PATI ditahan cuba memasuki negara

KUALA PERLIS, 16 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara melalui perairan Kurung Tengar, Perlis, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan melibatkan seorang warga tempatan, dua warga Thailand, empat warga Myanmar dan 21 warga Bangladesh.
  • Semua individu, bot dan barang kes dibawa ke jeti tahanan untuk siasatan mengikut Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007.
  • Siasatan dilaksanakan untuk kenal pasti rangkaian sindiket dan bayaran; rondaan serta pemantauan dipergiatkan membanteras penyeludupan migran.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, cubaan itu gagal selepas bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki mereka terkandas di kawasan cetek akibat air surut kira-kira 0.7 batu nautika dari Pantai Kurung Tengar.

“Seramai 28 individu termasuk tekong dan kru ditahan dalam operasi berkenaan. Mereka terdiri daripada seorang warga tempatan, dua warga Thailand, empat warga Myanmar dan 21 warga Bangladesh.

“Kesemua individu bersama bot dan barang kes telah dibawa ke jeti tahanan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, termasuk bayaran yang dikenakan terhadap PATI, susulan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja asing di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, rondaan dan pemantauan akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.