Hungary mansuh undang-undang anti-LGBTQ

Perarakan Budapest Pride 2026 berlangsung dengan harapan PM baharu Peter Magyar memansuhkan sekatan ketat terhadap hak LGBTQ/Foto AFP

BUDAPEST, 14 Oktober – Parlimen Hungary meluluskan pindaan undang-undang yang memansuhkan peruntukan anti-LGBTQ dalam undang-undang perlindungan kanak-kanak 2021, yang diperkenalkan ketika negara itu di bawah pentadbiran bekas pemimpin nasionalis, Viktor Orban.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan 139 undi menyokong dan 51 menentang, sekali gus menandakan perubahan dasar ketara terhadap sekatan hak komuniti LGBTQ sejak Perdana Menteri pro-Eropah, Peter Magyar, mengambil alih pentadbiran pada Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rang undang-undang diluluskan 139 undi menyokong, 51 menentang, menandakan perubahan dasar sejak PM pro-Eropah Peter Magyar mengambil alih.
  • Pindaan menggantikan larangan promosi kepelbagaian seksual dengan perlindungan kanak-kanak daripada bahan yang menjejaskan perkembangan secara serius.
  • EU menyambut baik keputusan; kumpulan hak menegaskan masih ada peruntukan diskriminasi belum dimansuhkan, termasuk pengiktirafan transgender dan sekatan perhimpunan.

Pindaan itu menggantikan larangan terhadap penggambaran atau promosi kepelbagaian seksual dan gender dalam kandungan yang boleh diakses kanak-kanak, dengan peruntukan bagi melindungi golongan bawah 18 tahun daripada bahan yang boleh menjejaskan perkembangan fizikal, intelektual, emosi atau moral mereka secara serius.

Setiausaha Negara di Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Keluarga, Szilvia Gyurko, berkata pindaan itu bertujuan memisahkan agenda perlindungan kanak-kanak daripada isu orientasi seksual dan identiti gender.

Kesatuan Eropah (EU) menyambut baik keputusan itu sebagai isyarat penting komitmen Hungary terhadap nilai bersama blok berkenaan, selepas Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (ECJ) memutuskan undang-undang 2021 itu melanggar peraturan EU.

Magyar yang memenangi pilihan raya dengan majoriti besar pada April lalu, menamatkan pemerintahan Orban selama 16 tahun. Bagaimanapun, beliau tidak menjadikan hak LGBTQ sebagai agenda utama kempen pilihan rayanya.

Menjelang pengundian, Magyar menyifatkan pindaan itu sebagai usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak tanpa mengira orientasi seksual, bukannya pemulihan hak komuniti LGBTQ secara khusus.

Parti Fidesz pimpinan Orban menentang pindaan berkenaan dengan mendakwa kerajaan melemahkan undang-undang asal susulan tekanan EU. Namun, majoriti dua pertiga yang dimiliki parti pemerintah Tisza membolehkan rang undang-undang itu diluluskan tanpa sokongan pembangkang.

Kerajaan Orban sebelum ini memperkenalkan beberapa sekatan terhadap komuniti LGBTQ, termasuk menafikan pengiktirafan undang-undang terhadap identiti gender golongan transgender pada 2020.

Undang-undang perlindungan kanak-kanak yang diluluskan pada 2021 turut melarang promosi homoseksualiti dan peralihan gender kepada golongan bawah 18 tahun, sekali gus mencetuskan kritikan aktivis serta pemimpin EU yang menyifatkannya sebagai tindakan menstigma komuniti LGBTQ.

Tahun lalu, undang-undang itu dipinda bagi membolehkan perhimpunan tahunan Pride diharamkan. Pada April lalu, ECJ memutuskan undang-undang berkenaan melanggar prinsip asas EU.

Sementara itu, wakil kumpulan hak asasi Hatter Society, Tamas Dombos, menyifatkan pindaan terbaharu itu sebagai langkah positif, namun menegaskan masih banyak peruntukan diskriminasi perlu dimansuhkan.

Menurutnya, undang-undang yang menghalang pengiktirafan transgender dan pengambilan anak angkat oleh pasangan sejenis masih berkuat kuasa.

Human Rights Watch turut menyatakan pindaan itu tidak menangani peruntukan diskriminasi lain dalam perlembagaan Hungary serta sekatan di bawah Akta Kebebasan Berhimpun yang digunakan untuk melarang perhimpunan Pride dan acara berkaitan LGBTQ.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.