
MADRID, 14 Oktober – Syarikat penstriman Netflix mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah memperoleh hak penyiaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2030 di Sepanyol dan Andorra, sekali gus menandakan langkah sulungnya dalam penyiaran utama bola sepak antarabangsa lelaki, lapor Xinhua.
- Netflix akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2030, termasuk tiga perlawanan ulang tahun ke-100 di Amerika Selatan.
- Satu perlawanan bagi setiap pusingan akan ditawarkan secara percuma di Sepanyol untuk capaian penonton tempatan.
- Pakej termasuk semua perlawanan Sepanyol, kedua-dua separuh akhir dan perlawanan akhir ditawarkan kepada stesen penyiaran nasional tidak berbayar.
Syarikat itu berkata pihaknya akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan kejohanan berkenaan, yang akan dianjurkan bersama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi, dengan tiga perlawanan sambutan ulang tahun ke-100 turut berlangsung di Amerika Selatan.
“Tidak banyak acara yang mampu menyatukan orang ramai seperti Piala Dunia,” kata Ketua Pegawai Kandungan Netflix Bela Bajaria.
“Dengan Sepanyol bakal menjadi tuan rumah pada 2030, kami teruja untuk membawakan setiap perlawanan kepada peminat di seluruh Sepanyol dan Andorra menerusi Netflix.”
Netflix mengesahkan bahawa satu perlawanan bagi setiap pusingan akan ditawarkan secara percuma di Sepanyol manakala pakej yang merangkumi semua perlawanan Sepanyol, kedua-dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir akan ditawarkan kepada stesen penyiar televisyen nasional tidak berbayar.
Pengaturan itu akan memastikan penonton yang tidak melanggan Netflix masih boleh menyaksikan beberapa perlawanan terbesar kejohanan itu.
Pengambilalihan hak penyiaran itu menandakan peluasan ketara portfolio sukan langsung Netflix ketika platform penstriman itu semakin menceburi penyiaran acara sukan utama.- BERNAMA-XINHUA