
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Rata-rata penjawat awam menyambut baik bantuan khas kewangan RM1,500 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
- Penjawat awam bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberi.
- Bantuan meringankan beban perbelanjaan isi rumah, terutama ketika sesi persekolahan bermula.
- Penerima boleh simpan bantuan atau gunakan untuk persiapan perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali.
- Keseluruhan, bantuan memberi kelegaan serta manfaat meluas kepada penjawat awam dan rakyat.
Penjawat awam, Nur Akma Azira Abd Azis berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah turut membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan isi rumah.
“Pertama sekali, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan. Secara tidak langsung, bantuan ini dapat meringankan beban kami sebagai penjawat awam dan juga rakyat.
“Selain itu, bantuan persekolahan anak juga amat membantu, terutamanya ketika sesi persekolahan bermula kerana banyak keperluan yang perlu dibeli,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, Kalaivanee berkata, bantuan yang diterima boleh digunakan untuk membuat persiapan menyambut perayaan atau menambah tabungan sedia ada.
“Duit bantuan ini boleh disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan atau digunakan bagi membuat persiapan menyambut perayaan.
“Contohnya, bantuan yang diterima sempena Hari Raya boleh digunakan untuk persiapan perayaan itu, manakala bantuan sempena Hari Kebangsaan boleh disimpan untuk persiapan menyambut Deepavali,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Siti Ruqaiyah Hashim berkata, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada penerima, terutama ketika mereka membuat persiapan menjelang musim perayaan.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan, lebih-lebih lagi apabila menjelang musim perayaan.
“Bukan saya sahaja yang gembira, malah penjawat awam lain juga turut merasai manfaat bantuan ini,” katanya.
Belanjawan 2027 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ merupakan belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang menjadi kerangka pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.