
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini disambut baik rakyat yang berharap pelbagai inisiatif diumumkan dapat membantu meringankan perbelanjaan kos sara hidup serta keperluan harian.
- Peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027 dilihat langkah positif.
- Bantuan persekolahan dinaikkan kepada RM200 setiap murid membantu meringankan beban kewangan ibu bapa.
- Sumbangan Tunai Rahmah 2027, walaupun RM50, memberi sokongan penting kepada peniaga kecil dan pendapatan tidak menentu.
- Inisiatif memfokus keluarga dan peniaga kecil dilihat langkah praktikal mengurangkan tekanan perbelanjaan harian.
Bagi orang awam, Amirul Ikhmal Surian, peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang berkuat kuasa mulai Jun 2027 disifatkan sebagai satu langkah positif.
“Saya gembira sebab harga barang sekarang pun semakin naik, jadi dengan peningkatan gaji minimum ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada rakyat; cara mereka menguruskan kewangan,” katanya ketika ditemui RTM.
Menurut Budiman Asrizal yang mempunyai empat cahaya mata yang masih bersekolah, peningkatan bantuan persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid disifatkan mampu meringankan beban kewangan ibu bapa.
“Perkara ini amat baik buat ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah sebab bantuan dapat meringankan perbelanjaan isi rumah.
“Kalau macam saya empat orang anak, kalau seorang RM200 maksudnya kerajaan dah membantu RM800. Perkara ini sangat membantu khususnya kepada ibu bapa macam saya,” katanya.
Bagi peniaga Nurul Akma Azira Abd Azis pula, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2027 merupakan satu bentuk sokongan yang amat bermakna kepada golongan berpendapatan tidak menentu, khususnya individu yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan.
“Alhamdulillah, bagi saya walaupun RM50, bantuan itu masih boleh menampung perbelanjaan untuk membeli susu dan keperluan anak.
“Lagipun peniaga kecil-kecilan macam saya tidak mempunyai pendapatan tetap. Pendapatan kami turun naik, jadi dengan bantuan yang diumumkan ini ia memang dapat membantu kami,” katanya.