Penerbitan lebih banyak buku kanak-kanak, pupuk budaya membaca

Foto Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasakan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak menerusi penerbitan buku baharu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menumpukan usaha menggalakkan amalan membaca dan kurikulum prasekolah baharu memperkenalkan slot baca bersama untuk mengukuhkan literasi awal.
  • Penerbitan buku kanak-kanak baru hasil kerjasama dengan penulis dan ilustrator Emilia Yusof memperkaya bahan bacaan berilustrasi.
  • Program seperti Festival Sastera Kanak-Kanak dan acara baca puisi menggalakkan interaksi, kreativiti dan keyakinan diri kanak-kanak.
  • FSK 2026 menawarkan sesi bercerita, koir, kelas melukis dan mewarna serta pakaian beragam sebagai aktiviti literasi menyeronokkan.

Buku terbaharu yang diterbitkan tahun ini hasil kerjasama dengan penulis dan ilustrator Emilia Yusof, antaranya bertajuk Harimau Berani Bicara, Penyu Yang Hebat, Kongsi Dengan Kawan, Orang Utan dan Warna, Mana Gajah? dan Peluang Kedua.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan berterusan untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kurikulum prasekolah baharu turut memperkenalkan slot baca bersama yang dapat mengukuhkan literasi awal.

“Program seperti Festival Sastera Kanak-kanak (FSK) dan acara baca puisi turut menyokong usaha kementerian dengan menggalakkan interaksi, selain memupuk kreativiti dan keyakinan diri pada peringkat awal usia,” kata Fadhlina.

Fadhlina turut menghadiri edisi kali ini dengan sesi berpuisi bersama kanak-kanak dalam acara Malam Baca Puisi Cilik FSK 2026.

Festival Sastera Kanak-Kanak (FSK) 2026 merupakan salah satu inisiatif bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam usaha melahirkan sasterawan negara.

Festival yang berlangsung pada 4 hingga 5 Jun itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak yang hadir seperti, sesi ‘Mari Bercerita’, persembahan koir, kelas melukis dan mewarna, pakaian beragam dan banyak lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.