
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Beregu wanita utama negara dan pilihan kedua kejohanan, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Indonesia 2026 selepas menewaskan pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu-Hsuan 21-18, 21-19 di Jakarta, semalam.
- Pearly-Thinaah mengesahkan tempat suku akhir Terbuka Indonesia Super 1000 selepas menunjukkan aksi konsisten.
- Menanti mereka gandingan Jepun Rui Hirokami dan Sayaka Hobara yang menewaskan pasangan Ong Xin Yee dan Carmen Ting.
- Beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mengejutkan dengan menewaskan gandingan Indonesia Jafar-Felisha.
- Pasangan suami isteri itu menang dalam 41 minit, kemenangan pertama ke atas gandingan Indonesia selepas tiga pertemuan terdahulu.
Pasangan ranking kedua dunia itu mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan di Istora Senayan untuk mengatasi tentangan lawan sekali gus mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terbaik kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut.
Menanti Pearly-Thinaah di suku akhir adalah gandingan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting.
Sementara itu, beregu campuran negara yang berada di ranking ke-12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, mencipta kejutan dengan menewaskan pasangan Indonesia yang menghuni ranking kesembilan dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.
Pasangan suami isteri itu memerlukan 41 minit untuk meraih kemenangan 21-15, 21-19 ke atas wakil tuan rumah tersebut, sekali gus melakar kemenangan pertama mereka ke atas gandingan Indonesia itu selepas tewas dalam tiga pertemuan terdahulu.