COBRA 10s: Himpun pasukan dari enam negara

Foto RTM

PETALING JAYA, 7 Oktober – Lebih 100 pasukan dijangka mengambil bahagian menerusi COBRA 10s Carnival Weekend, yang akan berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya, pada 31 Oktober dan 1 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungan kejohanan senior antarabangsa dan saingan remaja, platform kesinambungan pembangunan dari akar umbi ke pentas antarabangsa.
  • 12 pasukan lelaki elit dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura bersaing untuk kejuaraan C10s.
  • COBRA mensasarkan ke final dengan membentuk COBRA Select, menggabungkan pemain Malaysia dan pemain antarabangsa.
  • COBRA 10s Mini tingkatkan pembangunan akar umbi melalui saingan remaja, penglibatan pasukan asing dan klinik kejurulatihan bersama TotalEnergies.

Kejohonan yang buat julung kalinya dianjurkan itu akan menghimpunkan kejohanan senior antarabangsa serta saingan pembangunan remaja dalam satu penganjuran sekali gus menjadi platform memperlihatkan kesinambungan pembangunan ragbi daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa berkata, edisi ke-53 itu bakal menampilkan 12 pasukan lelaki senior dari seluruh dunia, enam pasukan wanita serta tiga pasukan veteran dalam perlawanan pertunjukan.

Menurutnya, jumlah penyertaan berkenaan turut disokong penglibatan lebih 100 pasukan dalam saingan junior, menjadikan edisi kali ini antara penganjuran terbesar COBRA.

“Ini kali pertama kami menganjurkan kejohanan dengan penyertaan lebih 100 pasukan dalam kategori junior, selain 12 pasukan lelaki senior dari seluruh dunia, enam pasukan wanita dan pasukan veteran. Jadi, kami sangat menantikan penganjuran kali ini ” katanya dalam satu sidang media pengenalan penaja kejohanan berkenaan di sini pada Rabu.

Bagi saingan elit lelaki, 12 pasukan dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura bakal berentap dalam kejohanan dua hari itu bagi merebut kejuaraan C10s.

Dalam pada itu beliau berkata COBRA menyasarkan untuk mara ke perlawanan akhir, dengan pasukan tuan rumah bakal diperkuatkan beberapa pemain antarabangsa menerusi penubuhan pemilihan COBRA.

“Sasaran kami sudah tentu untuk mara ke final. Memandangkan ini kejohanan elit, kami akan menerima beberapa pemain antarabangsa untuk menyertai COBRA Select bersama pemain kami sendiri. Jadi, gabungan pemain Malaysia dan pemain antarabangsa itu diharapkan dapat membantu kami mencapai sasaran untuk mara ke final ” Katanya

Sementara itu, COBRA 10s Mini dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pemain muda lelaki dan perempuan, termasuk pasukan remaja dari Singapura dan Sri Lanka.

Penganjuran saingan junior itu menjadi sebahagian daripada usaha COBRA memperkukuh pembangunan akar umbi dengan memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman pertandingan serta pendedahan di peringkat lebih kompetitif.

Usaha berkenaan turut dilengkapi program pembangunan menerusi klinik kejurulatihan ragbi interaktif anjuran TotalEnergies dan COBRA di padang kelab berkenaan serta beberapa sekolah terpilih.

Program itu memberi peluang kepada pemain muda meningkatkan kemahiran teknikal selain mempelajari nilai kesukanan secara langsung daripada pemain antarabangsa yang mengambil bahagian dalam C10s.

Acara berkenaan bukan sahaja menawarkan saingan di peringkat elit, malah mengetengahkan pembangunan bakat secara menyeluruh daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.