Insiden pesawat tersembam: beberapa individu cedera

Pesawat Lufthansa tersembam ketika sedang diletakkan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Frankfurt. Foto REUTERS

FRANKFURT, 4 Jun – Beberapa kakitangan cedera apabila sebuah pesawat Lufthansa tersembam ketika sedang diletakkan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Frankfurt atas sebab yang belum dipastikan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik kenyataan syarikat penerbangan itu pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Roda pendaratan muncung pesawat terlipat masuk secara tiba-tiba, menyebabkan muncung dan perut pesawat terhempas ke lantai.
  • Pesawat terlibat ialah Boeing 787-9 Dreamliner; kru dan kakitangan darat berada dalam pesawat; penumpang belum menaiki.
  • Siasatan dijalankan bersama pihak berkuasa; juruteknik dan kakitangan sokongan berada di lokasi untuk tindakan lanjut.

Syarikat penerbangan nasional Jerman itu mengesahkan “satu insiden” melibatkan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner.

Lufthansa memaklumkan beberapa kakitangannya mengalami kecederaan apabila pesawat berkenaan terhempas ke lantai parmak pada jam 12.45 tengah hari (1045 GMT).

Jurucakap Lufthansa menjelaskan bahawa “roda pendaratan bahagian muncung pesawat terlipat masuk secara tidak duga” semasa pesawat itu sedang berada dalam keadaan parkir.

Ketika insiden berlaku, beberapa anak kapal dan kakitangan darat berada di dalam pesawat berkenaan yang dijadualkan berlepas ke Los Angeles, katanya. Bagaimanapun, penumpang masih belum menaiki pesawat tersebut.

“Beberapa kakitangan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan perubatan,” kata jurucakap Lufthansa itu.

Keadaan sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan sedang disiasat bersama pihak berkuasa berkaitan, katanya sambil menambah bahawa juruteknik serta kakitangan sokongan kini berada di lokasi kejadian.

Satu video yang dikongsikan oleh laman web pengesan penerbangan Flightradar 24 menunjukkan roda muncung pesawat itu patah, menyebabkan badan pesawat terhempas ke lantai.

Seorang pekerja lapangan terbang yang memakai jaket keselamatan dapat dilihat berada berhampiran muncung pesawat semasa ia menyembam, lalu melompat ke belakang bagi mengelak daripada dihempap.

Seorang lagi pekerja kelihatan berdiri di atas lif kargo di bahagian kanan pesawat. Kedua-duanya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beberapa imej yang tular di media sosial menunjukkan pesawat Lufthansa berkenaan tersadai dalam keadaan perutnya mencecah lantai betul-betul di sebelah pintu pelepasan.
– BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.