Israel digesa berundur sepenuhnya dari Lubnan, capai gencatan senjata menyeluruh

Foto REUTERS

BEIRUT, 5 Jun – Lubnan dan Iran menggesa agar tentera Israel berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan dan memberi komitmen dalam usaha mencapai gencatan senjata secara menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Israel dilaporkan sedang berundur dari selatan Lubnan secara berperingkat.
  • Presiden Aoun memuktamadkan perjanjian gencatan senjata, menunggu maklum balas; perjanjian boleh berkuat kuasa dalam 24 jam selepas kelulusan.
  • Hezbollah dan IRGC menuntut pengunduran penuh Israel, menegaskan penentangan berterusan sehingga pendudukan berhenti.

Ketika ini, tentera negara haram itu dilaporkan sedang berundur dari selatan Lubnan secara berperingkat.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata pihaknya sedang berusaha memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dengan pihak-pihak terlibat.

“Kami sedang menunggu maklum balas semua pihak serta jaminan bahawa setiap komitmen akan dipatuhi. Sebaik sahaja perjanjian menerima kelulusan akhir, ia boleh berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam,” katanya menerusi sesi temu ramah dengan media tempatan.

Menyifatkan perjanjian gencatan senjata sebagai peluang terakhir untuk menamatkan konflik, beliau berkata kegagalan mencapainya akan memberi kesan kepada semua pihak.

Pada hari sama, Aoun turut mengadakan pertemuan dengan Utusan Khas Presiden Perancis ke Lubnan, Jean-Yves Le Drian, dan menegaskan keperluan mengelakkan sebarang alasan yang boleh digunakan Israel untuk menangguhkan pengundurannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem, menuntut pengunduran penuh Israel dan gencatan senjata menyeluruh, sambil menegaskan bahawa penentangan terhadap Israel akan diteruskan selagi serangan dan pendudukan di wilayah Lubnan berterusan.

Di Tehran, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut menggesa Israel menghentikan segera serangan terhadap rakyat Lubnan dan berundur dari kawasan yang diduduki.

Komander Pasukan Quds IRGC, Esmail Qaani, berkata Israel perlu kembali ke kedudukan sebelum tercetusnya konflik terbaharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.