Hamidin tidak tolak kemungkinan kembali bertanding jawatan Presiden FAM

Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tengah) semasa Kongres Luar Biasa FAM di Petaling Jaya, Selangor / foto FB Football Association of Malaysia

PETALING JAYA, 4 Jun – Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan kerusi nombor satu badan induk itu pada Kongres Tahunan September depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatan Presiden FAM dianggap amanah berat untuk memacu agenda reformasi bola sepak negara selaras cadangan AFC.
  • Pelaksanaan reformasi statut yang dibentangkan AFC memerlukan kepimpinan dan barisan Exco baharu yang komited untuk meneruskannya.
  • Jawatan menarik minat calon termasuk Datuk Seri Megat D Shahriman, Mohd Safee Sali dan beberapa tokoh korporat.
  • Laporan audit AFC jadi asas pindaan statut; pemilihan 2025-2029 diadakan selepas peletakan jawatan Exco Januari lalu.

Beliau menyifatkan jawatan berkenaan sebagai amanah yang berat, terutama dalam usaha memacu agenda reformasi bola sepak negara selaras dengan cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Jawatan Presiden FAM bukan satu kedudukan yang mudah. Kita sedia maklum jawatan ini pernah disandang oleh tokoh-tokoh besar termasuk Perdana Menteri dan Sultan.

“Berdasarkan situasi semasa, pelaksanaan reformasi statut yang dibentangkan AFC memerlukan kepimpinan dan barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu yang komited untuk meneruskannya,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM di sini.

Setakat ini, jawatan Presiden FAM mula menarik minat beberapa pihak termasuk Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali, selain beberapa tokoh korporat.

Terdahulu, kongres tersebut menyaksikan pembentangan laporan audit oleh AFC terhadap pentadbiran FAM yang menjadi asas kepada pindaan statut bagi memperkukuh tadbir urus badan induk tersebut.

Pemilihan bagi penggal 2025-2029 itu bakal dilaksanakan selepas kesemua ahli Exco FAM sedia ada mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif pada Januari lalu bagi memberi laluan kepada peralihan kepimpinan baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.