
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Pembangunan sukan musim sejuk di Malaysia perlu diberikan ruang, peluang dan sokongan sewajarnya bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi serta membina legasi sukan negara menjelang Sukan SEA 2027.
- ISAM mahu stadium luncur ais bertaraf antarabangsa sebagai kemudahan latihan, pembangunan atlet pelapis dan penganjuran kejohanan antarabangsa.
- Sukan SEA 2027 dilihat sebagai peluang memperkukuh ekosistem sukan musim sejuk, bukan sekadar pungutan pingat.
- Kerjasama KBS, MSN, persatuan dan sektor swasta diperlukan untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi dan mengejar impian pingat Olimpik 2030.
Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Datuk Mohamad Fadzli Johan, berkata pembangunan sukan berkenaan tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana Malaysia beriklim tropika, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan potensi atlet dan peluang bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, perancangan membangunkan stadium luncur ais bertaraf antarabangsa antara aspirasi utama persatuan itu bagi menyediakan kemudahan latihan, pembangunan atlet pelapis dan penganjuran kejohanan antarabangsa.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan Sukan SEA 2027, malah menjadi asas kepada pembangunan ekosistem sukan musim sejuk yang mampan.
“Kita tidak membina stadium semata-mata untuk Sukan SEA 2027. Kita membinanya untuk melahirkan generasi juara dunia dan membuka laluan kepada impian emas Olimpik Musim Sejuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini
Dalam pada itu, ISAM menyifatkan Sukan SEA 2027 sebagai peluang untuk memperkukuh pembangunan sukan musim sejuk negara, termasuk disiplin luncur ais, luncur laju trek pendek, hoki ais, keriting ais dan bola sepak ais.
Persatuan itu turut berharap kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan serta sektor swasta dapat diperkukuh bagi merealisasikan perancangan berkenaan.
ISAM turut menyasarkan pembangunan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa, termasuk merealisasikan impian Malaysia meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030.
Tambah beliau, kejayaan Sukan SEA 2027 bukan hanya dinilai berdasarkan pungutan pingat, tetapi melalui kemudahan, sistem pembangunan dan peluang yang dapat diwariskan kepada generasi atlet akan datang.