Infrastruktur, sistem pengangkutan awam ke SIC perlu ditambah baik

Litar Antarabangsa Sepang

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Infrastruktur dan sistem pengangkutan awam ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) perlu ditambah baik bagi menampung kehadiran sehingga 800,000 pengunjung, terutama ketika penganjuran acara berskala besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Infrastruktur sedia ada tidak mencukupi; perlukan perancangan jangka panjang bersama kerajaan.
  • Tingkatkan pengurusan trafik di bulatan berhampiran KLIA dan sediakan sistem pengangkutan awam lebih cekap termasuk pertimbangkan stesen kereta api di SIC.
  • Perkukuh kerjasama dengan kerajaan dan PDRM, lakukan penilaian menyeluruh komunikasi, pengurusan acara dan kemudahan pengangkutan untuk pengalaman penonton lebih selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata kapasiti infrastruktur sedia ada tidak lagi memadai untuk menampung jumlah pengunjung berkenaan, sekali gus memerlukan perancangan jangka panjang bersama pihak kerajaan.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan trafik di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain penyediaan sistem pengangkutan awam yang lebih berkesan.

“Sejak SIC mula beroperasi sehingga kini, antara perkara yang perlu kita teliti ialah keadaan infrastruktur sedia ada, termasuk aliran trafik di bulatan berhampiran KLIA. Kita perlu merancang penambahbaikan di kawasan itu dan menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap. Saya berpendapat, pembinaan stesen kereta api di SIC dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Perkara ini perlu dibincangkan bersama pihak kerajaan bagi mencari jalan untuk menambah baik infrastruktur, kerana kita dapat melihat kemudahan sedia ada masih belum mampu menampung kehadiran sehingga 800,000 pengunjung,” katanya pada sidang media GP Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad hari ini.

Tambahnya lagi perbincangan bersama kerajaan perlu diadakan bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang bersesuaian, selain memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melancarkan aliran trafik sepanjang penganjuran acara.

Menurutnya, pengalaman penganjuran Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain di Sepang baru-baru ini turut menjadi pengajaran kepada pihak pengurusan SIC untuk menilai kelemahan dan memperkemas pelaksanaan acara akan datang.

Katanya, penilaian menyeluruh perlu dilakukan, terutama dari aspek komunikasi, pengurusan acara dan kemudahan pengangkutan bagi memastikan pergerakan penonton lebih lancar serta memberikan pengalaman yang lebih selesa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.