
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kemarau kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao di pusingan awal berterusan apabila tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Denmark di Arena SJF Bank, hari ini.
- Leong Jun Hao tewas kepada Koki Watanabe 6-21, 19-21 dalam tempoh 40 minit.
- Jun Hao bangkit dalam set kedua, mendahului 15-12 dan 17-16 sebelum tewas 21-19.
- Jun Hao gagal melepasi pusingan awal dalam kesemua 11 kejohanan Jelajah Dunia tahun ini dan kerap gagal di kejohanan utama.
Pemain diranking ke-30 dunia itu tewas kepada wakil Jepun yang menghuni ranking ke-16 dunia, Koki Watanabe, 6-21, 19-21 dalam tempoh 40 minit.
Selepas mudah tewas pada set pertama, Jun Hao mempamerkan kebangkitan pada set kedua apabila memberikan tentangan lebih sengit, malah mendahului 15-12 dan 17-16.
Bagaimanapun, Watanabe bangkit menyamakan kedudukan 17-17 sebelum mendahului 19-17. Jun Hao kembali mengikat kedudukan 19-19, namun pemain Jepun itu lebih tenang untuk meraih dua mata terakhir bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19.
Kemenangan itu membolehkan Watanabe mendahului rekod pertemuan dengan Jun Hao, 4-3.
Lebih mengecewakan kekalahan itu menyaksikan Jun Hao gagal melepasi pusingan awal dalam kesemua 11 kejohanan Jelajah Dunia yang disertainya tahun ini, sama ada tersingkir pada pusingan pertama atau kedua.
Pemain berusia 27 tahun itu turut gagal melangkah jauh dalam beberapa kejohanan utama tahun ini, termasuk Kejohanan Badminton Asia, Kejohanan Dunia dan acara perseorangan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sementara itu, nasib sama menimpa beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, yang turut tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan, 21-19, 16-21, 19-21.