
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kekalahan tipis dalam pertemuan pertama tidak melunturkan keyakinan petarung Muay Thai negara, Johan Ghazali untuk menebus kekalahan apabila berdepan Diego Paez dalam aksi ulangan di Bangkok, pada Jumaat ini.
- Jojo akan berdepan Diego Paez dalam pertarungan ulangan di The Inner Circle 35, Stadium Lumpinee.
- Pertemuan pertama menyaksikan Paez diumum pemenang, mencatat kemenangan pertamanya di ONE Championship.
- Jojo kata kebanyakan serangan Paez tidak benar-benar mengena; hanya satu tendangan pusing mengenai sasaran.
- Beliau bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung, menambah momentum di ONE Championship.
Johan, 19, yang lebih dikenali sebagai Jojo, bakal berdepan wakil Colombia-Amerika Syarikat itu dalam pertarungan Muay Thai kategori terbang pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, dengan misi membalas kekalahan pada Jun tahun lalu.
Dalam pertemuan pertama mereka, Paez diumumkan sebagai pemenang selepas pertarungan sengit selama tiga pusingan, sekali gus mencatat kemenangan pertamanya dalam ONE Championship.
Bagaimanapun, Jojo kekal optimis menjelang pertemuan kedua itu dan percaya beliau sudah mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasinya.
Menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi ONE Championship, Jojo berkata beliau tidak menganggap kebanyakan serangan Paez dalam pertarungan terdahulu benar-benar mengena sasaran.
“Jika diteliti pertarungan sebelum ini, tiada satu pun serangannya benar-benar mengenai sasaran.
“Saya hanya ingat satu tendangan pusing ke belakang yang mengena, tetapi saya terus membalas dengan serangan.
“Saya tahu perkara yang perlu diperbaiki dan sejujurnya, saya tidak pernah lebih yakin daripada sekarang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Keyakinan Jojo turut disokong prestasi semasanya apabila beliau bangkit daripada kekalahan itu dengan meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung.
Rekod itu menjadi bekalan penting buat Jojo menjelang aksi ulangan berkenaan, dengan peluang membalas kekalahan lalu menjadi taruhan dalam usahanya meneruskan momentum kemenangan di pentas ONE Championship.