
TOKYO, 20 April –Jepun mengeluarkan satu amaran khas pada Isnin mengenai peningkatan risiko berlakunya gempa bumi kuat bermagnitud 8.0 atau lebih, selepas satu gegaran kuat melanda kawasan utara negara itu dan mencetuskan amaran tsunami.
- Agensi Meteorologi Jepun berkata kemungkinan gempa besar lebih tinggi berbanding keadaan biasa.
- Gempa bermagnitud 7.7 melanda perairan berhampiran Iwate, menyebabkan bangunan tinggi di Tokyo bergoyang.
- Tiada laporan kecederaan serius, orang awam digesa utamakan keselamatan dan bersedia untuk kemungkinan gegaran susulan.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam satu kenyataan memaklunkan, kemungkinan berlakunya gempa bumi besar baharu adalah “lebih tinggi berbanding keadaan biasa”.
Amaran bagi wilayah utara itu dikeluarkan beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda kawasan tersebut, menyebabkan bangunan tinggi di Tokyo turut bergoyang walaupun terletak ratusan kilometer dari pusat gegaran.
Gempa yang pada awalnya dianggarkan berukuran 7.4 magnitud itu kemudian disemak kepada 7.5 dan seterusnya 7.7, berlaku pada 4.53 petang waktu tempatan di perairan Pasifik berhampiran wilayah Iwate.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kecederaan serius atau kerosakan besar, menurut Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara, dalam satu sidang media.
Seorang pegawai Pejabat Kabinet dalam taklimat berasingan di televisyen berkata bahawa walaupun tidak dapat dipastikan sama ada gempa besar akan berlaku, orang ramai digesa mengambil langkah kesiapsiagaan bencana dengan mengutamakan keselamatan diri sendiri. – AFP